Selepas prestasi yang memberansangkan pada musim 2020, PJ City tidak meletakkan harapan yang dianggap realistik apabila mahu mengekalkan kedudukan dalam Liga Super bagi saingan Liga Malaysia musin 2021.

Musim 2020, PJ City yang dikendalikan K Devan menamatkan saingan di kedudukan kelapan.

Bagi musim 2021 pemilik kelab itu,  Datuk Seri Vijay Eswaran yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI meletakkan sasaran kelompok lima terbaik.

Beliau tampak optimis dengan kemampuan yang ada pada pengendali baharu kelab itu, P Maniam yang dianggap cemerlang ketika membimbing pasukan remaja untuk mengemudi PJ City musim depan.

Malah, pengurusan PJ City menggunakan ‘formula’ untuk menggunakan pemain tempatan bagi mengharungi musim baharu.

“Saya percaya yang kita perlu berikan mereka (pemain tempatan) peluang, selain melahirkan lebih ramai pemain daripada melaburkan wang (yang banyak), untuk mengambil pemain import.

“Walaupun kami membayar pemain dengan gaji tertinggi, ia tidak akan menjamin kemenangan untuk pasukan kami. Kami percaya dengan kerja kuat dan latihan yang betul serta displin yang bagus, ia akan membantu kami untuk membangunkan pasukan kami,” katanya.

PJ City turut mengesahkan pelantikan bekas jurulatih akademi remaja Manchester City Steven Jackson, dengan kontrak dua tahun (satu tahun dengan pilihan tambahan satu tahun lagi) untuk membangunkan dan membimbing lebih ramai pemain muda daripada skuad pembangunan pasukan itu, iaitu pemain dari Piala Presiden dan Piala Remaja.

Bagi P Maniam, tempoh masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk menilai sebelum memuktamadkan barisan pemain yang akan menggalas tugas dibawaj kendaliannya.

“Kami mempunyai kira-kira enam minggu untuk menyediakan pasukan dan dari situ kami akan melihat pemain mana yang akan diberikan peluang untuk bermain pada perlawanan pertama Liga Super 2021,” katanya.

“Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk bersaing dengan pasukan lain yang mempunyai pemain import yang bagus,” kata Maniam.

 

- Advertisement -