Kapten Perak, Shahrul Saad sememangnya sudah lama dicanang sebagai pilihan utama untuk mengemudi jantung pertahanan Harimau Malaya setelah menunjukkan peningkatan yang cukup baik dalam prestasinya sejak beberapa tahun kebelakangan.

Malah saham Shahrul juga semakin melonjak naik selepas dia membawa Perak menoktahkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia pada Sabtu lalu dengan menewaskan Terengganu.

Shahrul bagaimanapun tidak terbuai dan mahu segera mengalihkan fokusnya kepada sesi latihan bersama skuad kebangsaan dan melakukan segala yang termampu untuk memastikan namanya tidak tercicir dari senarai akhir 23 pemain yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki. Ā 

ā€œKami sudah menoktahkan musim dengan kejayaan cemerlang dan ianya memberi semangat tambahan untuk meneruskan pula kecemerlangan bersama pasukan negara. Sekarang masanya untuk terus pandang ke depan dan tidak leka dengan apa yang telah dicapai.

ā€œSaya perlu memikat perhatian jurulatih dan memastikan tersenarai ke Piala AFF, saya tidak menganggap diri saya sebagai pilihan utama, semua yang dipanggil adalah pemain berkualiti dan saya tahu tiada seorangpun pemain yang boleh selesa atau terjamin kedudukan dalam skuad.

ā€œSemua perlu bekerja keras termasuklah saya sendiri, persaingan adalah cukup sengit kerana kami sendiri tidak tahu berapa ramai pemain pertahanan yang jurulatih mahu bawa. Jadi jika ada yang beranggapan saya adalah nama wajib itu adalah silap,ā€ kata Shahrul.

Walaupun Shahrul cuba merendah diri, melihat kepada senarai pemain pertahanan yang Cheng Hoe miliki, pemain berusia 25 tahun ini sememangnya dijangka tiada masalah untuk berada di dalam skuad dan membarisi kesebelasan utama.

Selain Shahrul, pemain pertahanan lain yang disenaraikan Cheng Hoe di dalam skuad 26 pemain yang akan diuji ketika menentang Maldives dalam aksi persahabatan pada 3 November nanti adalah Rawilson Batuil (Sabah), Aidil Zafuan Abdul Razak dan Adam Nor Azlin (JDT) serta Irfan Zakaria (Kuala Lumpur).

Pemain pertahanan Pahang, Muslim Ahmad yang menampilkan aksi cemerlang sepanjang 2018 bagaimanapun tidak disenaraikan Cheng Hoe. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -