Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Liability Partnership, FMLLP – Kevin Ramalingam

Selepas menggelar media sebagai tidak professional , Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menunding jari ke arah Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Kali ini, Annuar menyifatkan FMLLP tidak professional berhubung isu pengambilan dua pemain import pasukan itu,  Abou Bakr Al Mel dan Seydi L Imam.

Semalam, FMLLP menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam mengesahkan pembelian pemain kedua, Seydi L Imam adalah tidak sah kerana KAFA hanya menghantar permohonan untuk mendapatkan seorang pemain import.

Menerusi kenyataan di laman social facebook, Annuar menegaskan FMLLP perlu merujuk KAFA sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Boleh tidak kalau FMLLP tanya dahulu KAFA kedudukan sebenar sebelum buat kenyataan supaya kenyataan itu lebih profesional dan tidak melakukan kenyataan yang salah berkaitan perkara ini,” kata Annuar Musa.

FMLLP mengenakan sekatan perpindahan dengan bersyarat kerana mahu isu tunggakan gaji melibatkan KAFA diselesaikan menerusi peruntukkan yang diperolehi sekaligus hukuman berkenaan boleh ditarik.

Walaubagaimanapun, Annuar tetap bertegas mahukan penjelasan daripada FMLLP tentang status pembelian pemain import.

“Tahukan FMLLP Seydi L Imam dibawa masuk dengan penjimatan tanpa kos tambahan kepada KAFA dan beliau dibawa masuk oleh ejen bagi menggantikan Alessandro Celin yang cedera dan menghadapi masalah kecergasan?

“Tahukan mereka (FMLLP) KAFA membuat penjimatan dengan meminjamkan pemain seperti Pak Nik (Nik Sharul Azim Abdul Halim) bagi memastikan KAFA tidak berbelanja lebih dan beberapa bekas pemain import yang bising mempunyai kes pertikaian bersama KAFA yang sedang melalui satu proses tertentu yang ia adalah pilihan mereka sendiri,” katanya.

“Kalau Abou Bakr dibenarkan daftar, apa asas mahu menghalang Seydi L Imam sedangkan peraturan jelas menyebut menandatangani pemain yang tidak melibatkan kos tambahan dan penjimatan adalah hak pasukan atau FMLLP mahu kelab terus buang wang dengan kekalkan pemain yang sakit, supaya TRW yang sudah dipotong mata (enam mata) terus ranap dan tidak mampu bersaing, itukah arahan kerja FMLLP terhadap ahli gabungan.

“Mengapa pula FMLLP membenarkan pemain KAFA berpindah kalau KAFA tak dibenar ganti mereka? Tolong jawab secara profesional,” katanya lagi.

Persoalan yang timbul, walaupun pengurusan boleh dianggap lemah, hakikatnya siapa ketua?FMLLP yang mengendalikan Liga Malaysia atau KAFA, persatuan bolasepak yang bernaung dibawah syarikat yang mengendalikan Liga Malaysia?

Siapa yang ‘mencari masalah’ sehingga menjadi tumpuan media tempatan, malah organisasi antarabangsa turut mengkritik tindakannya dan dianggap sebagai memalukan?

Tidak dinafikan bukan KAFA sahaja yang bersalah, FMLLP juga perlu dipersalahkan kerana lewat bertindak dalam memastikan hal hal berkaitan perpindahan pemain melibatkan pasukan ‘bermasalah’, namun ia bukan jalan untuk KAFA memijak organisasi tersebut.

Malah tindakan FMLLP dalam menguatkuasakan undang undang masih terlalu ‘lemah’ dan perlu lebih tegas.

Sepatutnya, hukuman sekatan pembelian pemain ke atas KAFA perlu dikekalkan sehingga tunggakan gaji ke atas pemain semasa dan bekas pemain atau pengurusan selesai sepenuhnya.

Bukan sahaja kepada KAFA, FMLLP perlu meneliti kesemua pasukan dalam Liga Malaysia untuk memastikan isu sepeti ini tidak berlaku sepanjang tahun.

Untuk rekod, KAFA sudah dikenakan pemotongan enam mata oleh FMLLP berhubung isu gagal melengkapkan pendaftaran pemain bersama sama tiga lagi pasukan, T Team, ATM dan Perlis. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -