Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah membuka semula operasi mereka sejak Selasa lalu selepas lebih dua bulan sepi tanpa sebarang aktiviti susulan pandemik Covid 19 sejak Mac lalu.

Menerusi kenyataan oleh SIC, ia hanya dibuka untuk sesi latihan individu sahaja dengan maksima sehingga 10 orang dibenarkan bagi setiap sesi.

Aspek keselamatan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut dilaksanakan oleh kakitangan SIC selain pemeriksaan kesihatan serta rekod pengguna untuk disimpan sebagai langkah langkah berjaga.

SIC juga akan memastikan proses pembersihan dan sanitasi dilakukan untuk memastikan suasana sihat sepanjang masa kepada pelanggan.

Dalam pada itu, SIC juga menjangkakan kejohanan atau perlumbaan antarabangsa dijangka bermula pada September dimana ia bergantung kepada kelulusan pihak yang terlibat.

Antara yang berada di dalam perancangan adalah saingan Formula 4 SEA yang dicadangkan hanya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang sahaja.

Segalanya bergantung kepada kerajaan terutama keputusan untuk membuka pintu masuk Malaysia kepada orang luar.

Saingan F4 SEA terdiri daripada pelumba pelumba dari luar negara serta beberapa tenaga kerja seperti juruteknik turut dibawa dari luar negara dan diganding dengan kru tempatan.

F4SEA, merupakan platform bagi membangunkan pelumba muda sebagai pelumba sukan F1 pada masa akan datang.

 

 

- Advertisement -