MENTERI Besar Selangor YAB Tuan Haji Amirudin Shari hari ini merasmikan Sidang Kemuncak Sukan Selangor 2019 (SISS) yang berlangsung buat julung kali di sini.

Dalam ucaptama sempena perasmian SISS 2019, Tuan Haji Amirudin berkata penganjuran acara kemuncak berkenaan selaras dengan inisiatif globalisasi Selangor untuk menjadikan negeri itu sebagai hab industri sukan di rantau ini.

“Selangor berharap menjadi pemangkin menwujudkan platform yang sesuai dan kondusif untuk menghimpunkan pakar-pakar dalam industri termasuk peneraju dan pemimpin, pentadbir dan organisasi sukan, selaras dengan inisiatif globalisasi Selangor untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat industri sukan di rantau ini,”kata YAB Tuan Haji Amirudin.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha membangun dan membina kejayaan buat Selangor yang sememangnya mempunyai tradisi cemerlang dalam sukan menerusi penganjuran SISS.

Sepanjang sidang berkenaan, peserta dan delegasi didedahkan dengan pelbagai aspek membangunkan industri sukan termasuk penganjuran acara, pembangunan, pemasaran sukan, fasiliti sukan dan kemahiran penganjuran dan kecemerlangan.

“Sidang Kemuncak Sukan Selangor 2019 menyediakan platform terbaik buat peserta meraih pelbagai pengalaman menerusi pengalaman dari para peneraju industri dan pasaran sukan. Ini pasti menjana impak positif kepada komuniti sukan di Malaysia secara ama dan Selangor khususnya.

“Dengan penganjuran acara ini, diharap pembuat keputusan dalam sukan negara sedar dengan hasrat serius Selangor untuk terus menganjurkan acara sukan antarabangsa yang berstatus tinggi,” kata Tuan Amirudin.

Menurut beliau, Selangor berhasrat menjadi tuan rumah Sukan Malaysia 2022 yang kali terakhir berlangsung di negeri itu pada 1998. “Selepas 21 tahun, Selangor sudah bersedia menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2022.”

YAB Tuan Haji Amirudin turut berkata Selangor memasang hasrat membida menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 2026:

“SUKMA 2022 membuka era baru buat Selangior dan dengan restu daripada Kerajaan Persekutuan, Selangor turut berhasrat membida penganjuran Sukan Komanwel pada 2026,” kata beliau.

Beliau melahirkan penghargaan kepada Asian Sports Press Union (AIPS Asia) di atas pembabitan dalam sidang kemuncak berkenaan dan berharap kerjasama antara Selangor dan kesatuan serantau berkenaan berkenaan diteruskan di masa depan.

Antara ahli panel yang membentangkan kertas kerja pada sidang kemuncak berkenaan Khalid Al-Naama, Ketua Media Arab bagi Jawqtankuasa Utama Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Prof Rocky Kang-Ro Yoon, President Diplomasi Sukan Antarabangsa Korea.

Turut hadir, Datuk Seri Mohamed Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia yang turut membentangkan kertas kerja yang antara lain, menyentuh mengenai lanskap dan pembangunan sukan tempatan.

Kira-kira 300 perserta termasuk pihak berkepentingan daripada pelbagai agensi dan badan sukan Selangor, wakil dari 30 negara anggota AIPS Asia, wartawan sukan Asia dan Malaysia serta pegawai dari beberapa badan sukan kebangsaan turut hadir.

Sempena sidang kemuncak berkenaan, AIPS Asia turut menganugerahkan empat trofi kemenangan kepada atlet dan pasukan terbaik Asia 2018 iaitu Atlet Lelaki dan Wanita serta Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik Asia 2018.

AIPS Asia turut mengadakan Kongres yang dihadiri delegasi dari 30 negara anggota sempena acara berkenaan.

- Advertisement -