Meskipun dihentam kiri kanan disuruh berundur malah dilabel sebagai presiden yang gagal tetapi Bibi Ramjani Ilias Khan tidak berputus asa, masih teguh berdiri untuk selesaikan isu pelesenan kelab.

Dia nampaknya betul-betul serius di dalam memastikan Kelantan tidak ditimpa satu lagi bala selepas tersingkir ke Liga Premier iaitu terpaksa beraksi di Liga FAM seandainya gagal menjelaskan sebarang tuntutan tunggakan gaji atau pampasan terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Malah, Bibi baru-baru ini mendedahkan dalam satu laporan akhbar tempatan bahawa telah mengeluarkan RM2.6 juta untuk menyelesaikan hutang milik pengurusan lama selain cuba menyelesaikan tuntutan pembayaran kes membabitkan FIFA secara berjadual.

Semuanya demi memastikan Kelantan tidak bermasalah di dalam mendapatkan lesen kelab bagi terus beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Itu semua adalah sisi positif usahawan batik itu sejak dia mengambil alih pucuk pimpinan KAFA sejak hampir 11 bulan yang lalu.

Namun, di dalam menunjukkan kesungguhan menyelesaikan hutang tunggakan dan pampasan milik pengurusan lama, nampaknya ada perkara yang Bibi terlepas pandang.

Sehingga ke hari ini, gaji atau pampasan beberapa pemain musim semasa masih banyak yang tertunggak dan tidak ada tanda-tanda pihak pengurusan mahu menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

Tidak perlu memetik terlalu banyak nama kerana ada yang sudah ditamatkan kontrak dan ada juga yang dipinjamkan ke kelab lain, tetapi bagaimana pula dengan Badhri Radzi dan Amiridzwan Taj Tajudin yang masih berkontrak bersama KAFA?

Dua pemain ini adalah antara pemain berprofil tinggi di dalam pasukan serba bermasalah Kelantan dan bernasib baik untuk terus kekal bersama mereka meskipun ramai nama besar lain disingkirkan dengan cara tidak professional.

Lebih malang, bukan sahaja sudah berbulan lamanya tidak menerima gaji, mereka juga tidak tahu apa status mereka di dalam pasukan – mereka tidak dibenarkan berlatih bersama rakan sepasukan lain dan tidak diturunkan bermain oleh jurulatih – dibiarkan gantung tidak bertali?

Di dalam Bibi begitu rancak menyelesaikan masalah pengurusan lama, kenapa tidak jeling sedikit kepada isu semasa di dalam pasukan? Bibi nampaknya lebih berminat untuk bermusuh dengan pemainnya itu berbanding mengambil langkah untuk menjernihkan keadaan.

Bibi mungkin ada alasan konkrit bahawa dua pemain ini sudah dipanggil dan mereka sendiri yang enggan bersetuju  dengan penamatan kontrak, tetapi bagaimana KAFA mengharapkan persetujuan dicapai pada ketika mereka tidak menawarkan situasi ‘win-win’ kepada pemain?

KAFA sebolehnya mahu menamatkan khidmat mereka tanpa membayar pampasan tinggi atau tidak mahu langsung membayar pampasan. Sebelum ini, Taj pernah mendedahkan bahawa walaupun dia  sudah berlembut memberikan ‘diskaun’ pampasan tidak dibayar penuh kerana memahami situasi KAFA, mereka tetap berkeras mahu pemain bersetuju dengan solusi yang ditawarkan.

Jadi dalam hal ini, Piya dan Taj menjadi mangsa dek kerana enggan bersetuju dengan solusi yang ditawarkan, status mereka dibiarkan tergantung manakala gaji pula tertunggak berbulan lamanya.

Dari satu sudut , ia dilihat lebih kepada cubaan untuk membalas dendam, dan mengharapkan pemain akan berputus asa dan akhirnya akur menerima sahaja apa sahaja diberikan KAFA – mungkin!

Bayangkan, situasi sama pernah berlaku di Kuala Lumpur, Junior Aparecido mahu digugurkan Kuala Lumpur tetapi oleh kerana dia meminta pampasan penamatan kontrak yang tinggi, dia kekal bersama pasukan namun dalam masa sama gajinya tetap dibayar.

Ironinya begitulah situasi itu perlu ditangani – selagi pemain masih berkontrak, mereka wajar dilayan sepertimana termaktub di dalam kontrak dan menerima segala hak sebagai seorang pekerja.

Hak dan kebajikan mereka tidak boleh sama sekali dinafikan walau apapun status mereka di dalam pasukan. Ini jelas menunjukkan KAFA masih terlalu jauh dengan nilai professional dan Bibi perlu segera sedar menguruskan pasukan bolasepak tidak sama dengan menguruskan perniagaan batik.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -