Tujuh jaringan pemain pertahanan tuan rumah, Lia Apriliani memastikan Indonesia meraih kemenangan penting dalam aksi permbukaan peringkat kumpulan B selepas mengatasi Malaysia 23-15.

Selepas kekalahan pasukan lelaki dalam peringkat saringan ke atas Qatar semalam, pasukan wanita negara kendalian Syihabuddin Ismail mengharapkan tuah memihak Malaysia ketika berdepan Indonesia.

Separuh masa pertama, Malaysia gagal untuk menyaingi Indonesia apabila ketinggalan 9-12, namun prestasi anak didik Syihabuddin bolah dikatakan meningkat ketika menghampiri penghujung babak pertama.

Malaysia ketinggalan 3-1 selepas enam minit perlawanan, namun bangkit untuk mendahului pada satu ketika 6-5 dimana Nurfarahiyah Yusri antara penyumbang gol untuk pasukan negara.

Indonesia tampak tidak tertekan sebaliknya terus mengasak dan Ria Astututi, Ayuning Baharizki dan Yani Fitri Anggi masing masing menyumbat satu gol dipenghujung babak pertama untuk mendahului 12-9.

Penguasaan skuad kendalian Abdul Kadir berterusan dibabak kedua, kali ini giliran Lia Apriliani menjadi penggempur utama Indonesia apabila balingannya sukar untuk ditepis penjaga gol negara.

Malaysia turut cuba bangkit untuk merapatkan jurang mata menerusi Nurul Irdina Yazid, Farah Atifah Mohd Yusof dan Dharshiniy N sivan, namun ia tidak cukup untuk memastikan kemenangan mutlak Indonesia 23-15 selepas wisel penamat dibunyikan.

Malaysia akan berdepan Jepun untuk aksi kedua pada 19 Ogos manakala Indonesia akan bertamu Thailand dalam misi memburu kemenangan kedua pada 16 Ogos depan.

- Advertisement -