Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila muncul pasukan pertama melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Piala Remaja Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) B-17.
SMK Bukit Nenas mengesahkan tempat mereka di kelompok empat terakhir setelah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya 2-1 dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada Sabtu lalu.
Jaringan Azuhal Aiman Abdul Rahman pada minit ke-9 dan Aiman Hakim Mahhusin pada minit ke-18 membolehkan skuad bimbingan Zainuddin Md Zain mencatat kemenangan kelima mereka musim ini dan menerajui liga dengan 16 mata, empat mata mengatasi Akademi Felda dengan hanya berbaki satu lagi perlawanan untuk diharungi.
Pengurus pasukan SMK Bukit Nenas, Nordin Ahmad berkata pasukan itu mensasarkan untuk mara ke final buat kali ketujuh dan mengulangi pencapaian muncul juara Piala Remaja KPM-FAM musim lalu.
“Keyakinan dan motivasi di kalangan pemain cukup baik, kita kekalkan sebahagian besar pemain musim lalu jadi mereka sudah serasi bersama dan menterjemahkan taktikal jurulatih dengan cukup berkesan di atas padang. Melihat kepada konsistensi dan prestasi meningkat naik, tidak mustahil kita dapat ke final sekali lagi,” kata Nordin.
Dalam pada itu, SMK Syed Hassan (SSN Perlis) dan SMK Za’ba (SSN Negeri Sembilan) memastikan peluang memburu satu lagi slot ke separuh akhir belum tertutup biarpun dilihat tipis setelah menewaskan lawan masing-masing.
SMK Syed Hassan menewaskan Akademi JDT, SMK Bukit Indah 1-0 menerusi jaringan Wan Muhammad Uwais Qorni pada minit ke-78 dan melonjak ke tangga kelima dengan sembilan mata.
Manakala SMK Za’ba bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan SMK Tabuan Jaya (SSN Sarawak) 4-2 menerusi R.Thivyanraj Arjoon (m-42), Zharif Nazhan (m-62), Nafiz Norhani (m-84) dan Huzaimi Mokhtar (m-90).
SMK Za’ba berada di tangga ketujuh dengan tujuh mata namun mereka masih menpunyai baki dua perlawanan untuk diharungi.
Dalam saingan Liga Perdana pula, empat pasukan – SMK Tunku Anum (SSN Kedah), SMK Seri Kota (SSN Melaka), SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) dan SMK Gunung Rapat (SSN Perak) bersaing sengit bagi mengisi kedudukan dua teratas.
SMK Tunku Anum menerajui liga dengan 17 mata setelah menewaskan SMK Gunung Rapat 1-0 menerusi jaringan tunggal Syazwan Salahudin pada minit ke-55 dalam aksi terakhir mereka. Namun kedudukan SMK Tunku Anum mungkin tergugat memandangkan pencabar-pencabar lain masih mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi.
Jaringan tunggal Khairul Azri Ismail pula menyaksikan SMK Seri Kota melakar kemenangan 1-0 ke atas SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah) dan mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dengan 16 mata.
SMK Seksyen 11 yang tidak beraksi minggu lalu berada di tangga ketiga dengan 13 mata manakala SMK Gunung Rapat di tempat keempat dengan 10 mata.
Aksi lain menyaksikan SMK Putera (SSN Kelantan) melonjak ke tangga kelima setelah mencatat kemenangan 1-0 ke atas SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) 1-0. Peluang kedua-dua pasukan ke separuh akhir bagaimanapun sudah tertutup.
KEPUTUSAN
LIGA SUPER PIALA REMAJA KPM – FAM
SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu) 2
SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda) 1
SMK Syed Hassan (SSN Perlis) 1
SMK Bukit Indah (Akademi JDT) 0
SMK Za’ba (SSN N.Sembilan) 4
SMK Tabuan jaya (SSN Sarawak) 2
KEPUTUSAN
LIGA PERDANA PIALA REMAJA KPM – FAM)
SMK Gunung Rapat (SSN Perak) 0
SMK Tunku Anum (SSN Kedah) 1
SMK Seri Kota (SSN Melaka) 1
SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah) 0
SMK Kem Terendak (Akademi ATM) 4
MSS Putrajaya 2
SMK Putera (SSN Kelantan) 1
SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) 0