Melaka(Yellow) vs SSM Gambang-003

Melaka(Yellow) vs SSM Gambang-001

SMK Gunung Rapat melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Piala Menteri Pelajaran Malaysia (B-14) setelah menundukkan SMK Mutiara Impian 2-0 di Ipoh.

Dua jaringan Afiq Firdaus Abdul Rahim pada minit ke-36 dan 52 memastikan kemenangan kedua berturut-turut dan keenam musim ini buat tuan rumah sekaligus mendahului carta liga dengan 21 mata.

Kedudukan Gunung Rapat selaku pendahulu bagaimanapun turut dibantu kekalahan pendahulu sebelum ini, SSM Pahang yang tewas 0-2 kepada SMK Seri Kota di Melaka.

Amirul Jalani Mohd Hakimi muncul wira buat pasukan SMK Seri Kota apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan babak pertama dan minit ke-49, sekaligus menyentap hasrat SSM Pahang untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas.

Kemenangan buat SMK Seri Kota menyaksikan mereka terus memberi tekanan kepada dua pasukan teratas itu dan berada di landasan tepat untuk memburu tiket suku akhir – menduduki tangga ketiga dengan 18 mata, satu mata di belakang SSM Pahang.

Jurulatih SMK Seri Kota, Jeraie Sitan berkata, “Persiapan kami untuk perlawanan ini sebenarnya agak teruk berikutan masalah tiket pulang dari Sabah, minggu lalu kami bermain di sana. Tetapi pemain menunjukkan mereka tidak terganggu dan melakukan yang terbaik untuk mengutip tiga mata dan terus mengekalkan rekod tanpa kalah kami musim ini.

“Perlawanan sebenarnya pada saya agak seimbang, bezanya adalah kami memanfaatkan peluang yang kami dapat. Kita sebenarnya sangat tumpul dalam sentuhan penyudah, kita paling sikit menjaringkan gol berbanding pasukan lain dan ini aspek yang saya harap akan bertambah baik selepas ini.”

Manakala jurulatih SSM Pahang, Effendi Malek pula menjelaskan, “Pada saya permainan mereka tiada masalah, saya berpuas hati. Kita sebenarnya lebih kepada pendedahan dan penggiliran pemain. Pemain kita semuanya 13 tahun dan ke bawah, jadi berdepan pasukan lawan yang dibarisi pemain berusia 14 tahun, mungkin ada sedikit kurang dari segi fizikal, kematangan dan pengalaman. Namun mereka boleh sesuaikan diri dengan persekitaran, jadi bagi saya tiada masalah.”

Perlawanan lain menyaksikan SMK Tun Hussein turut mengukuhkan peluang mara ke suku akhir setelah mencatat kemenangan 2-1 ke atas SMK Datuk Peter Monjuntin.

SMK Tun Hussein Onn terlebih dahulu ketinggalan kepada jaringan Almee Fadily di separuh masa pertama, sebelum bangkit menjaringkan dua gol di separuh masa kedua menerusi Faqrulhafizi Asmadi dan Fariq Mehamad Khaidi.

Sementara MSS Putrajaya dan SMK Seri Titiwangsa pula menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bagi aksi Liga Super Piala Menteri Pelajaran, pendahulu SSM Bukit Jalil bangkit dari ketinggalan dua kali untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang SMK Seksyen 11 di Subang.

Ahmad Anwar Mohd Fauzi menjaringkan gol buat SMK Seksyen 11 pada minit pertama dan 41 manakala SSM Bukit Jalil bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail membalas menerusi Megat Shafique Syazwan dan Afiq Haikal Che Man.

SSM Bukit Jalil kekal mendahului liga dengan 22 mata, tiga mata mengatasi SMK Tunku Mahkota Ismail yang sekadar seri tanpa jaringan menentang SMK Bukit Nenas.

SMK Seberang Temerloh pula melonjak ke tangga ketiga setelah menewaskan SMK Tabuan Jaya 2-0 hasil jaringan Muhamad Syukur Aiman Ramly dan Fakhrul Haziq Hishamuddin.

Dalam satu lagi perlawanan penuh dramatik di Kota Bharu, tuan rumah SMK Putera terus kempunan mencatat kemenangan pertama setelah tunduk 2-3 kepada SMK Za’ba.

Walaupun mendahului menerusi sentuhan Syuqran Azlan pada minit ke-16, SMK Putera gagal mempertahankan kelebihan apabila melepaskan gol penyamaan kepada Haizal Heizam Aznan di separuh masa pertama, sebelum pasukan dari Negeri Sembilan itu menambah dua jaringan menerusi Norfazly Suleiman dan Haziq Mokhtar di babak kedua.

Muhaimin Izudin merapatkan defisit pada minit ke-60 namun tidak memadai untuk menghalang kekalahan ketujuh pasukannya dalam saingan musim ini.

KPM.100+

 

KEPUTUSAN

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Seri Kota (Melaka)                     2

SSM Pahang                                          0

 

SMK Gunung Rapat (Perak)              2

SMK Mutiara Impian (P.Pinang)      0

 

MSS Putrajaya                                      0

SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur)     0

 

SMK Tun Hussein Onn (Johor)               2

SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah)   1

 

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Putera (Kelantan)                           2

SMK Za’ba (Negeri Sembilan)               3

 

SMK Seberang Temerloh (Pahang)          2

SMK Tabuan Jaya                                        0

 

SMK Seksyen 11 (Selangor)                   2

SSM Bukit Jalil (K.Lumpur)                     2

 

SMK Bukit Nenas (Terengganu)              0

SMK Tunku Mahkota Ismail                     0

- Advertisement -