Oleh Muhammad Aiman

Dua atlet negara, Soufi Rusli dan Nor Hashimah Ismail melakar sejarah di Kejohanan Boling Padang Piala Dunia di Australia apabila menampilkan aksi bertenaga untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Soufi dan Hashimah memenangi aksi play-off masing-masing di Warilla Bowl and Recreational Club, New South Wales.

Soufi bangkit dari kekalahan set pertama untuk menewaskan wakil Afrika Selatan, Pierre Breitenbach 3-12, 11-4 dan 3-1 manakala Hashimah pula cemerlang menundukkan atlet Filipina, Ronalyn Greenlees 10-6, 8-5 pada Isnin.

Di peringkat separuh akhir, Soufi dan Hashimah berdepan cabaran berliku, di mana mereka akan menentang pemain pilihan dari New Zealand.

Hashimah dijadual menentang juara dunia dalam dewan sebanyak empat kali, Jo Edwards pada Selasa manakala Soufi pula akan menentang Ali Forysth, juara dunia 2008 pada Rabu.

Jurulatih negara, Zuraidi Puteh teruja dengan pencapaian atlet bimbingannya itu, “Ia satu pencapaian yang begitu bermakna, cabaran kita belum berakhir. Lawan kita di separuh akhir adalah pemain berkelas dunia, tetapi saya percaya atlet kita akan turut memberi tentangan sengit.”

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi gelaran juara dunia dalam kategori perseorangan wanita sekali, menerusi Siti Zalina Ahmad pada 2015.

 

Jadual separuh akhir :

Selasa : Natasha Scott (Aus) lwn Lucy Breere (Gue), Jo Edwards (NZ) lwn Nor Hashimah Ismail (Mas)

Rabu : Ronnie Duncan (Sco) lwn Jeremy Henry (Aus), Ali Forysth (NZ) lwn Soufi Rusli (Mas)

- Advertisement -