Oleh Muhammad Aiman

Lim Chi Wing mungkin sudah dua kali bergelar juara kebangsaan, namun itu tidak memadai untuk membolehkan namanya tersenarai dalam skuad badminton negara yang akan membawa cabaran di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka akan menamakan empat pemain perseorangan dalam pasukan lelaki seramai 10 pemain untuk beraksi di kejohanan dwitahunan itu dan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata setakat ini hanya kedudukan Iskandar Zulkarnain Zainuddin sahaja yang sudah terjamin.

Justeru, baki tiga lagi tempat akan cuba direbut oleh Chi Wing, penyandang pingat emas Chong Wei Feng, Lee Zii Jia, R.Satheishtharan dan Tan Jia Wei.

ā€œKita hanya boleh menamakan 10 pemain untuk Sukan Sea, jadi kita mahukan empat pemain perseorangan yang bagus dengan dua daripadanya akan bermain dalam acara individu. Memang kita tengok ada di antara pemain-pemain ini menunjukkan aksi konsisten tetapi kita akan tunggu sehingga Jun sebelum menamakan skuad. Masih ada beberapa kejohanan lagi akan mereka sertai untuk memikat panel pemilih,ā€ kata Morten Frost.

Selaku juara kebangsaan, sudah tentunya tidak adil andai nama Chi Wing tercicir justeru dia kini punyai satu peluang terakhir untuk menyambar satu daripada slot berbaki apabila beraksi di Grand Prix Emas Terbuka Thailand di Bangkok yang akan berlangsung dari 30 Mei ā€“ 4 Jun depan.

Dia akan membuka tirai Terbuka Thailand dengan berhadapan pemain veteran Indonesia, Sony Dwi Kuncoro yang merupakan pilihan kesepuluh kejohanan dan keputusan baik di sana sudah tentunya akan mencerahkan lagi peluang Chi Wing disenarai ke dalam skuad KL2017.

Pemain lain yang akan turut mencuba nasib adalah Iskandar, Satheishtharan, Soong Joo VenĀ  serta pemain bebas seperti Wei Feng, Liew Daren, Tan Chung Seang serta adik-beradik Zulfadli dan Zulhilmi Zulkifli.

- Advertisement -