Ng Eain Yow

Oleh Muhammad Aiman

Pemain skuash wanita negara, Rachel Arnold mengetepikan tentangan sengit pemain meningkat naik Jepun, Satomi Watanabe dalam aksi final untuk merangkul gelaran Sirkit Skuash Jelajah Malaysia pusingan kedua di Royal Lake Club pada Sabtu.

Pemain ranking ke-55 dunia itu bermula dengan cemerlang apabila memanfaatkan kesilapan-kesilapan mudah Watanabe untuk mendahului 2-0, namun dia kemudiannya berdepan detik cemas apabila membenarkan Watanabe bangkit mengikat kedudukan 2-2 sebelum mengesahkan kemenangan 3-2 (11-9, 11-9, 9-11, 2-11 dan 11-9).

Ianya adalah aksi final kesepuluh dalam karier buat Rachel dan gelaran keduanya dalam siri Jelajah Persatuan Skuash Professional (PSA) dan lebih manis, kejayaan itu juga menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu membalas dendam kekalahannya kepada Watanabe di pusingan kedua Kejohanan Individu Asia di India, bulan lalu.

“Saya bergelut untuk buat yang terbaik, kerana saya sangat letih secara mental dan fizikal tetapi akhirnya saya lakukannya. Ianya bukan mudah kerana saya tidak dapat menguasai gelanggang (mid-court) pada set ketiga dan keempat tetapi motivasi dari jurulatih (Andrew Cross) dan kakak saya Delia (Arnold) membantu saya menamatkan permainan dengan kejayaan.

“Saya akui ini bukanlah prestasi terbaik dari saya tetapi sudah tentunya ianya satu perasaan yang bagus untuk bergelar juara. Malah ia satu kepuasan buat saya untuk tewaskan Watanabe setelah tewas kepadanya dalam pertemuan terdahulu,” ujar Rachel yang membawa pulang hadiah kemenangan US$902 (RM3,920).

Sementara itu dalam perkembangan lain, dua wakil perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow dan Mohd Addeen Idrakie menghadirkan khabar ceria buat kem negara apabila masing-masing melangkah ke separuh akhir Terbuka NT di Darwin Australia.

Eain Yow menyingkirkan wakil tuan rumah Matthew Hopkin (11-7, 11-6 dan 11-5) manakala Addeen pula bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan pilihan kedua, Evan Williams (8-11, 16-14, 12-10, 11-8) dalam aksi cukup dramatik.

Dalam aksi separuh akhir, Eain Yow berdepan pemain Hong Kong, Lau Tsz Kwan sementara Addeen pula berdepan seorang lagi pemain pilihan yang juga wakil tuan rumah, Joshua Larkin.

- Advertisement -