Juara bertahan, Penang Black Panthers membuktikan reputasi mereka selaku pasukan pilihan apabila bangkit dari kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Warriors dalam aksi Sepaktakraw League (STL) Premier di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ) pada Jumaat.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat Black Panthers setelah terdahulu menewaskan Perak Bison dan Johor Tigris pada minggu pembukaan sekaligus mengungguli kedudukan liga dengan enam mata.

Set pertama menyaksikan Black Panthers yang membariskan bekas tekong kebangsaan Fazil Asri, Suhairi Sulaiman dan Kamal Ishak tewas 14-21 kepada trio Kelantan Warriors gandingan Hasman Che Hamid, Aiman Azmawi dan Aiman Fouzi.

Begitupun, perubahan taktikal dengan kemasukan tekong kebangsaan Syahir Rosdi serta Azlan Alias di set kedua menyaksikan Black Panthers kembali dalam permainan dengan lebih agresif dan berjaya mencatat kemenangan 21-15 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tatkala set ketiga dijangka berlangsung sengit, regu Kelantan Warriors yang turut dibarisi Hafizi Maarof nyata bergelut untuk menyambut libasan-libasan bertenaga Black Panthers sekaligus akur dengan kekalahan 11-21.

Bagi Syahir, Black Panthers belum boleh mendabik dada meskipun berjaya mengekalkan rekod bersih setakat ini kerana perjalanan masih lagi terlalu jauh.

“Ia bukan mudah untuk kami kerana semua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan hadir dengan harapan besar. Setiap perlawanan adalah sukar, macam Kelantan Warriors kami jumpa tekong yang banyak pengalaman dan tahu kelemahan pasukan kami.

“Kami tidak boleh terlalu yakin, banyak lagi perlawanan perlu diharungi. Lebih penting adalah selepas setiap perlawanan kami cuba perbaiki kelemahan dalam melakukan servis dan memberi penekanan terhadap pelbagai lagi aspek ketika latihan,” kata pemain tinggi lampai itu.  

Black Panthers akan menutup aksi minggu kedua STL Premier dengan menentang Terengganu Turtles pada Sabtu (7 Oktober) manakala Kelantan Warriors pula berdepan ATM Guardians pada Ahad (8 Oktober).

Sementara itu dalam satu lagi aksi, Terengganu Turtles tidak berdepan masalah mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Johor Tigris 2-0.

Terengganu Turtles yang membariskan Zulkifli Razak sebagai tekong diapit Safarudin Abu Bakar dan Fadzli Roslan menewaskan trio Haidzir Abd Rasyid, Lutfil Hadi Azmi dan Noraizat Nordin dengan keputusan 21-17, 21-17. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Keputusan (6 Oktober) :

Penang Black Panthers mng Kelantan Warriors (2-1; 14-21, 21-15, 21-11)

Terengganu Turtles mng Johor Tigris (2-0; 21-17, 21-17)

 

Jadual aksi seterusnya :

7 Oktober (Sabtu) : Perak Bison lwn ATM Guardians (5 ptg), Selangor Pistons lwn Kuala Lumpur Thunder (6 ptg), Terengganu Turtles lwn Penang Black Panthers (8 mlm)

8 Oktober (Ahad) : Kelantan Warriors lwn ATM Guardians (5 ptg), Kuala Lumpur Thunder lwn Johor Tigris (6 ptg), Perak Bison lwn Selangor Pistons (8 mlm)

- Advertisement -