Malaysia membuka tirai Kumpulan B saingan bolasepak di Sukan SEA Vietnam dengan tiga mata selepas menundukkan Thailand 2-1 di Stadium Thien Truong.

Kemenangan skuad kendalian Brad Maloney terhasil menerusi dua watak, Jonathan Khemdee dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Malaysia bagaimana pun terpaksa mengigit jari apabila kesilapan pertahanan negara mengawal Patrik Gustavsson di minit 33 mengundang padah selepas rembatan lemahnya memperdaya penjaga gol kebangsaan, Muhammad Azri Ab Ghani.

Thailand kendalian Alexandre Polking pula dilanda kejutan apabila Khemdee dilayangkan kad merah di minit 41 selepas beliau yang menjadi ‘last man’ mengasari Muhamad Syahir Bashah.

Ia nyata menyuntik semangat juang anak didik Brad Maloney yang tampak lebih menguasai perlawanan dibabak kedua.

Deretan peluang terhidang akhirnya diterjemahkan menerusi gol di minit 61 menerusi tampanan Ahmad Danial Ahmad Asri hasil hantaran lintang Mukhairi Ajmal untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tatkala perlawanan tampak bakal berakhir dengan keputusan seri, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar muncul wira Malaysia apabila meledak gol kemenangan di penghujung perlawanan untuk memastikan tiga mata penting milik negara.

 

- Advertisement -