Mengulangi pencapaian Muhamad Adiq Husainie Othman yang pernah memenangi jersi putih (pelumba terbaik Asia) pada 2016 adalah misi hampir mustahil, akui pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Hariff Saleh.
Biarpun menjadi wakil Malaysia paling cemerlang pada peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Kuala Terengganu ke Kerteh hari ini, namun Hariff mengakui cabaran dalam saingan berikutnya amat getir.
“Saya rasa mustahil (menang jersi putih) kerana kita ada pendakian ke Genting Highlands dan itu sukar buat pelumba pecut. 
“Untuk memenangi jersi putih kita perlukan pelumba yang bagus dalam pecutan dan mendaki bukit, sedangkan saya adalah sprinter (pelumba pecut) tulin.
“Bagi pelumba tempatan, saya rasa paling berpotensi adalah Nur Amirul (Fakhruddin,TSG) dan Nur Aiman (Zariff, Sapura).
“Tetapi kita tengok, pelumba Kazakhstan kali ini juga sangat kuat, jadi macam sukar untuk dapat jersi terbaik Asia,” katanya.
Hariff, yang menjuarai peringkat keempat LTdL 2019 menamatkan perlumbaan sejauh 175.5 kilometer hari ini di tempat kelima terbaik.
Pelumba TSG kelahiran Terengganu itu sebelum ini melakar kejutan dengan muncul naib juara pada saingan pemanas badan LTdL 2020 – perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, Sabah Khamis lalu.
Hariff berkata, dia tidak berjanji untuk mengekalkan momentum baik pada peringkat ketiga dari Temerloh ke Kuala Lumpur (162.5km) esok kerana laluannya amat mencabar.
“Sudah tentu saya berada dalam keadaan fizikal terbaik tetapi laluan kurang berpihak kepada saya. 
“Apa pun saya akan memastikan pasukan kami mampu kekal dalam kelompok teratas,” ujarnya lagi.
Nur Aiman muncul pelumba terbaik Malaysia setakat ini dengan berada di kedudukan keempat keseluruhan dan ketiga terbaik Asia keseluruhan.
- Advertisement -