PELUMBA Ara Pro Racing Sunshine Coast, Taj Jones melakukan kejutan apabila memenangi Peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 (LTDL) dalam kayuhan terpanjang dari Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu ke Kerteh, hari ini.

Dalam kayuhan yang berlangsung di bawah cuaca panas terik itu, Jones memanfaatkan ruang dengan bijak apabila memasuki Persiaran Guntong, Bandar Baru Kerteh yang membabitkan selekoh tajam pada 1 kilometer terakhir, untuk memintas pelumba NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walscheid dan pelumba B&B Hotels-Vital Concept, Jeremy LeCroq.

Kelompok besar peloton itu, yang dilepaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pantai Batu Burok, menamatkan kayuhan sejauh 175.6km itu dengan masa 4 jam 05 minit 29 saat, atau purata kelajuan mencecah 42.89kmj.

Pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team, Harrif Salleh sekali lagi terpaksa akur gagal berdiri di podium di hadapan peminat tempatan, apabila menduduki tempat kelima pada peringkat itu, selepas di tempat ke-10 pada Peringkat 1 di Kuching, semalam.

 

 

Di akhir perlumbaan itu, pelumba  Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov terus mengekalkan jersi kuning yang dimenangi di Kuching, apabila tiba secara selamat di dalam kelompok besar pelumba yang bekerja keras untuk menangkap sekumpulan lima pelumba yang membuat pemecahan awal sebaik perlumbaan mencecah 10 kilometer.

Namun, pujian harus diberikan kepada Jones, yang semakin bijak menyesuaikan diri di bawah cuaca panas terik di Malaysia, selepas dia menduduki tempat ketujuh di Kuching.

“Sukar dipercayai tetapi semuanya hasil kerja keras rakan sepasukan yang menarik saya ke bahagian depan ketika memasuki beberapa kilometer terakhir. Selepas itu saya mengekori di belakang tayar pelumba NTT Pro Cycling, dan menghenjut pada 50 meter terakhir.

“Saya semakin yakin di sini. Dan mungkin ini tahun yang akan memberikan beberapa kejayaan selepas mula berkayuh secara profesional tiga tahun lalu,” katanya yang mengakui tidak banyak mengetahui mengenai LTdL biarpun ramai pelumba Australia mencipta nama dalam jelajah yang kini berusia 25 tahun ini.

Jones yang lebih banyak berkayuh basikal bukit dan bermain luncur air sebelum ini, berharap kariernya sebagai pelumba akan lebih cerah hasil kemenangan pertamanya bersama pasukan Ara Pro Racing ini.

Sementara itu, penyarung jersi kuning individu keseluruhan, Fedorov yang turut menyarung jersi hijau Raja Pecut dan jersi putih Pelumba Terbaik Asia, mengakui kayuhan hari kedua itu lebih sukar dan rakan sepasukannya berusaha keras pada sebahagian besar kayuhan untuk melindungi jersi kuning yang disarungnya.

“Rakan sepasukan sambil dibantu beberapa pasukan pakar pecut lain berkayuh laju di dalam peloton untuk menangkap kumpulan pelumba yang membuat pemecahan awal. Selepas dapat menangkap mereka, saya hanya berkayuh secara selamat,” katanya yang menduduki tempat ke-39 di peringkat itu, tetapi masih menguasai carta teratas dengan masa terkumpul 5 jam 56 minit 14 saat, 9 saat di depan pencabar terdekat dari Thailand Continental Cycling Team, Thurakit Boonratanathanakorn.

Dengan kelebihan 1 minit 23 saat di depan sebahagian besar pelumba lain, Fedorov juga yakin untuk mengekalkan jersi kuning pendahulu itu sehingga ke peringkat 4 di Genting Highlands. Begitupun, jersi hijau Raja Pecut yang dipegangnya semakin dicabar oleh Jones dan Walscheid, yang masing-masing kini mengumpul 19 mata.

Pelumba Sapura Racing Team, Muhamad Nur Aiman Zariff yang begitu agresif apabila menyertai kelompok lima pelumba – Mattia Viel (Androni Giocattoli- Sidermec); Alessandro Iacchi (Vini Zabu);  Rylee Field (Bridgelane) dan Colby Lange (Wildlige Generation), turut layak diberi pujian apabila menguasai ketiga-tiga zon pecutan di Chendering, Rantau Abang dan Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Walaupun suatu ketika berada hampir 5 minit di depan peloton, mereka gagal bertahan sebelum ditangkap pada 20km terakhir. Cubaan Field untuk meloloskan diri secara solo turut gagal apabila dia tenggelam dalam asakan peloton pada baki 3km.

Esok, Peringkat 3 PETRONAS-LTdL 2020 akan membawa peloton dalam kayuhan dari Temerloh ke Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) sejauh 162.5km, menempuh 3 zon pecutan dan 3 zon pendakian termasuk pendakian sukar berstatus KOM1 di Genting Sempah.

Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd  turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, pada 6 Februari lalu dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

- Advertisement -