Sukma XVII Perlis 2014

Sukma XVII Perlis 2014 LogoPelatih skuad lebuh raya kebangsaan, Ahmad Fahmi Farhan Fuat yang menyarung jersi Pahang dan pelumba wanita Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir masing-masing meraih pingat emas acara berbasikal ujian masa individu (ITT) Sukma Perlis 2014 di Seriab, hari ini.

Ia adalah pingat emas pertama dari sukan berbasikal buat Pahang manakala ketiga buat Terengganu, sekaligus menjanjikan persaingan lebih sengit pada acara ujian masa berpasukan (TTT) lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung esok.

Ketika kemenangan Ahmad Fahmi Farhan mungkin sudah diduga kerana statusnya selaku pelumba kebangsaan, kemunculan Nur Aisyah begitu menggembirakan skuad Terengganu apabila pelumba yang kali pertama beraksi di Sukma itu, mempertahankan emas yang dimenangi negeri itu di Pahang 2012, menerusi Nurul Syuhada Zainal.

Nur Aisyah, 17, yang merakam 53 minit 04.314 saat nyata lega apabila muncul pelumba terpantas di laluan sejauh 33.4km di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun kerana dapat memenuhi harapan yang disandarkan terhadapnya.

“Semangat saya memang membara, lebih-lebih lagi kami berlatih sebulan di Chieng Rai, Thailand. Malah ketika berkayuh, saya bermati-matian di sepanjang laluan walaupun berdepan tiupan angin kuat dari arah depan.

“Kemenangan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memenuhi sasaran 8 emas daripada acara berbasikal yang diharapkan Majlis Sukan Terengganu. Saya berharap mendapat emas lagi dalam acara ujian masa berpasukan pula esok,” kata pelajar Sekolah Menengah Bukit Mentok, Kemaman itu.

Pingat perak dimenangi pelumba Pahang, Nurul Nadia Mohd Fauzi yang mancatat 54:56.921s manakala pelumba Kedah, Siti Fatimah Ismail memungut gangsa (55:04.720s).

Sementara itu, dalam acara ITT lelaki sejauh 40.1km, Ahmad Fahmi Farhan yang dilepaskan pada sebelah tengah hari, menggunakan pengalaman yang ditimba sebagai pelumba kebangsaan untuk mengetepikan cabaran pelumba negeri lain.

Berpengalaman menyarung jersi kebangsaan di Jelajah Thailand dan disenaraikan untuk menyertai Jelajah Korea selepas ini, Ahmad Fahmi Farhan, 21, yang berpangkalan bersama skuad lebuh raya kebangsaan di Melaka, mempamer tempo kayuhan yang konsisten di sepanjang laluan landai itu.

Dia menamatkan kayuhan dengan catatan 55:15.699s; di depan pemenang perak dari Terengganu Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff (55:51.608s) dan pelumba Johor, Muhammad Mustazlee Ishak (56:06.142s).

“Pada sebelah tengah hari, cuaca begitu panas dan tiupan angin juga agak kencang selepas membuat pusingan U selepas separuh jarak. Ketika itu, saya terfikir mustahil dapat melakukan catatan masa yang pantas tetapi saya tetap mencuba.

“Ini kemenangan yang manis bagi saya kerana dalam dua penyertaan di SUKMA sebelum ini, saya gagal memenangi sebarang pingat,” kata bekas pelajar SMK Temerloh Jaya
yang mula menceburi sukan berbasikal dalam acara MTB ketika Tingkatan 4.

Menurutnya, emas yang dicapai hari ini menyemarakkan semangatnya untuk membantu skuad Pahang dalam acara TTT dan lepas beramai-ramai selepas ini.

Sukma XVII Perlis 2014

- Advertisement -