Sukma XVII Perlis 2014 LogoGergasi sukan silat Sukan Malaysia, Pahang menerima tamparan awal apabila gagal memenangi sebarang pingat emas pada lapan acara akhir silat seni yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan semalam.

Pahang sekadar membawa pulang 2 perak dan 4 gangsa pada acara akhir yang menyaksikan penguasaan seimbang 4 negeri iaitu Terengganu, Johor, Selangor dan Sarawak yang meraih 2 emas masing-masing.

Sarawak memangi emas menerusi acara Jurus Tunggal Baku menerusi Mohd Firdaus Rahmat yang mengutip 445 mata, 2 mata mengatasi pesilat Selangor, Mohd Irzad Matali, manakala gangsa dimenangi Mohd Azzamudin Mohd Shukri dari Kedah.

Pingat emas kedua Sarawak pula disumbangkan oleh trio Jurus Wajib Regu mereka Christy Sherry, Farrah Hanim Ismail dan Rita Langat yang mengutip 443 mata untuk menewaskan gandingan Terengganu di tempat kedua manakala trio Selangor berpuas hati dengan gangsa.

Johor pula memonopoli disiplin Tempur Ganda apabila memenangi kedua-dua emas dari kategori putera dan puteri.

Gandingan kembar, Ainul Nadira Tuah dan Ainul Namira Tuah beraksi kemas untuk mengutip 520 mata sekaligus menghadiahkan Johor pingat emas pertama dari gelanggang silat. Perak acara ini dimenangi pasangan Pahang, Nur Jannah Alias dan Nur Sahira Hamzah, manakala Kedah meraih gangsa.

Pasangan Maizal Hafizi Mansor dan Mohd Hazim Shafri selepas itu terus menceriakan kem Harimau Selatan dengan memenangi emas bagi Tempur Ganda Putera selepas mengutip 531 mata. Psangan Terengganu yang beraksi baik terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala Kedah pulang dengan pingat gangsa.

Terengganu pula menguasai acara Solo Bebas dengan menyapu bersih dua emas dari kategori ini. Nur Aqila Noryamal mengungguli kategori wanita manakala Mohd Faiz Ngah memenangi emas kategori lelaki.

Selangor turut meraih dua emas dari acara silat seni setelah menguasai Jurus Tunggal Baku wanita menerusi Maisarah Mohd Burhanuddin serta acara Jurus Wajib Regu menerusi gandingan Amir Aiman Mohd Awal, Mohd Amirul Ashyraf dan Mohd Syafiq Ridhuan Suhaimi.

- Advertisement -