Tuan rumah Sukan Malaysia ke 17, Perlis bermula garang dalam acara bolasepak apabila mencatat kemenangan selesa 3 – 0 ke atas juara bertahan Sabah pada perlawanan pembukaan pagi tadi.

Ketua pasukan singa utara, Wan Zulhilmi Wan Mustaffa muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma pada babak kedua perlawanan untuk memberikan tiga mata penuh kepada Perlis.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM Arau menyaksikan kedua pasukan bermula perlahan dengan hanya sesekali percubaan ke gawang lawan.

Sabah terlebih dahulu meraih peluang menerusi gerakan menarik di sebelah kanan tetapi rembatan leret Mohd Azli Saidi sekadar melintas di depan gawang Perlis.

Minit ke 23, Perlis dihadiahkan sepakan penalty selepas Syafiq Azmi dijatuhkan pertahanan lawan. Shukorazmi yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Robson Rendirining untuk Perlis mendahului 1 – 0.

Babak kedua, Perlis menggandakan kelebihan pada minit ke 53. Sepakan percuma yang di ambil Wan Zulhimi dari sebelah kanan gawang Sabah melencong tepat ke penjuru kiri untuk kedudukan 2 -0.

Sabah tambah tertekan pada minit ke 70 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah kapten mereka, Rawilson Batuil dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Shukor Azmi.

Pun begitu Sabah hampir merapatkan kedudukan tetapi rembatan deras Saliun Mastar seminit selepas itu sekadar menggegar palang.

Sepuluh minit sebelum tamat, Wan Zulhilmi sekali lagi membuktikan kehebatannya menerusi sepakan percuma apabila sekali lagi menewaskan Robson untuk kemenangan mutlak 3 – 0 buat skuad bimbingan Yusri Che Lah itu.

 

Keputusan bola sepak (pagi)

Sabah 0 – 3 Perlis

Sarawak 3 – 1 Pahang

Negeri Sembilan 2 – 1 Kelantan

 

 

- Advertisement -