Sukma XVII Perlis 2014 LogoSkuad tuan rumah, Perlis melengkapkan kemenangan 100 peratus di peringkat kumpulan apabila membelasah Sarawak 4 – 1 pada perlawanan yang dicemari layangan dua kad merah serta insiden tegang di dalam dan luar padang.

Perlis yang beraksi di hadapan lebih seribu penyokong bermula dengan agresif dan hanya memerlukan empat minit untuk didepan menerusi tandukkan Mohd Firdaus Zulkaffli.

Empat minit selepas itu skuad bimbingan Yusri Che Lah menggandakan kelebihan menerusi tandukkan ketua pasukan mereka, Wan Zulhilmi Wan Mustaffa. Sarawak yang perlu menang untuk mara ke suku akhir bangkit selepas itu dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi sentuhan Mohd Ibrahim Jobeli pada minit ke 13.

Aksi rancak di babak pertama berterusan sehinggalah minit ke 42 apabila Perlis sekali lagi menggegar jaring Sarawak, kali ini giliran Mohd Syafiq Azmi mencatat nama selaku penjaring.

Babak kedua, Sarawak dan Perlis saling berbalas serangan namun gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk merubah kedudukan. Penyokong Perlis bersorak lagi pada minit ke 81 apabila  Syafiq Azmi meledak lagi dengan merembat masuk bola muntah di depan gawang Sarawak.

Selepas gol tersebut, perlawanan menjadi tegang. Kekasaran Badrul Azhar Adenan ke atas pemain Perlis, Mohd Hafizi Mat Podzi mencetuskan ketegangan. Pengadil, Suresh Basgaran melayangkan kad merah kepada Badrul Azhar manakala Hafizi kad kuning.

Seminit berselang, Sarawak kehilangan seorang lagi pemain apabila giliran Eric Molby pula diarah meninggalkan padang setelah menerima kad kuning kedua.

Wisel panjang selepas itu menyaksikan hampir semua pemain dan pegawai pasukan Sarawak menyerbu pengadil perlawanan. Tidak berakhir di situ, provokasi oleh penyokong juga hampir mencetuskan keadaan yang lebih buruk, mujurlah Polis dan pegawai SUKMA pantas meredakan keadaan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, juara bertahan, Sabah mengiringi Perlis ke suku akhir setelah mencatat keputusan seri dua sama ketika berdepan Pahang.

Johor pula memastikan status sebagai juara kumpulan D, setelah menundukkan Negeri Sembilan 2-1, sekaligus mengelak pertembungan dengan Perlis di suku akhir.

 

Jadual suku akhir

Perlis lwn N.sembilan

Perak lwn Wilayah Persekutuan

P.Pinang lwn Kedah

Johor lwn Sabah

- Advertisement -