Skuad bola sepak Perlis di Sukan Malaysia terus menghadirkan keceriaan buat penyokong tempatan apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas Pahang 2 – 0 sekaligus meletakkan sebelah kaki di suku akhir.

Perlis kini mengutip enam mata hasil dua kemenangan dan akan berdepan Sarawak pada perlawanan terakhir kumpulan A pada hari Rabu.

Pada perlawanan petang tadi di Stadium Uitm Arau, Perlis yang mendapat sokongan padu lebih seribu penyokong bermula baik dengan gol pembukaan hasil rembatan kencang Mohd Shukor Azmi pada minit ke 10.

Namun selepas itu Pahang yang lebih banyak menguasai perlawanan, tetapi percubaan demi percubaan berjaya dinafikan Nazar Shahar yang kebal di gawang Singa Utara.

Nazar Shahar menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan tepat ke sasaran yang dilakukan barisan hadapan Pahang.

Babak kedua, Pahang yang tumpas pada perlawanan pertama kepada Sarawak, terus memburu gol penyamaan tetapi terus buntu.

Malang terus menimpa mereka apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada minit ke 59 setelah kapten Tok Gajah, Iskandar Zulkarnain Ibrahim dilayangkan kad kuning kedua.

Minit ke 70, Perlis seharusnya menggandakan kedudukan tetapi percubaan menarik Mohd Haziq Muis berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang.

Seminit kemudian, serangan Perlis membuahkan hasil menerusi rembatan padu kapten mereka, Wan Zulhilmi Wan Mustaffa untuk menjadikan kedudukan 2 – 0.

Tiada tambahan jaringan disaksikan selepas itu, dan kemenangan 2 – 0 ini hampir pasti membawa tuan rumah ke suku akhir, namun jurulatih Perlis Yusri Che Lah mahu momentum kemenangan ini diteruskan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

”Kemenangan ini banyak dibantu dengan gol awal yang kami perolehi, dan mungkin semangat yang ada pada semua pemain menjadi faktor pemisah antara kami dan Pahang hari ini” kata Yusri.

Bagi Pahang pula, ketiadaan dua penyerang utama, Amirul Kesmuni dan Syafiq Razali jelas merencatkan jentera serangan Pahang di Sukma tetapi jurulatihnya, Azaruddin A.Aziz masih berharap keajaiban pada perlawanan terakhir kumpulan A nanti.

Keputusan acara bola sepak

Perlis 2 – 0 Pahang

Sarawak 0 – 1 Sabah

Johor 1 – 0 Kelantan

Kedah 1 – 0 Terengganu

W.Persekutuan 3 – 2 Melaka

Selangor 1 – 0 P.Pinang

- Advertisement -