Penyerang Johor Darul Takzim (JDT) Syafiq Ahmad terlibat dalam kemalangan tragis di Pulau Pinang, awal pagi tadi yang mengorban anak lelaki, Aisy Saqeef yang berusia 22 hari, ibu mentua, Zainab Wahab dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti. 

Perkhabaran itu jelas mengejutkan komuniti sukan bolasepak di Malaysia yang mengucapkan takziah kepada Syafiq dan ahli keluarga antaranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan JDT

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyampaikan salam takziah kepada pemain bola sepak kebangsaan Syafiq Ahmad, yang telah kehilangan anak lelaki dan ibu mentuanya selepas terbabit dalam satu kemalangan awal pagi tadi.

“Semoga Allah mengampuni dosa dan mencucuri rahmat ke atas roh mereka, serta meringankan musibah Syafiq (Muhammad Syafiq) seisi keluarga. Al-Fatihah,” menurut kenyataan dalam laman Facebook rasmi FAM.

Menurut laporan media tempatan kejadian telah berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, kira-kira jam 5.30 pagi ketika beliau dalam perjalanan pulang ke Pendang dari Johor.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Syukur @ Mohd Ilhami Musa ketika bercakap kepada media berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Sebaik tiba, sebuah kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam didapati remuk teruk dipercayai akibat terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Enam mangsa dimana tiga daripadanya dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu. Pasukan bomba kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

Mangsa yang tersepit semuanya berjaya dikeluarkan kira-kira sekitar pukul 6.10 pagi dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Laman facebook Johor Southern Tigers mengumumkan bendera JDT di Stadium Sultan Ibrahim akan dikibarkan separuh tiang, dan stadium diterangi dengan lampu putih serta mesej takziah dipaparkan di skrin besar sebagai tanda penghormatan kepada Syafiq Ahmad sekeluarga. Upacara Tahlil juga akan diadakan selama tiga hari.

Pemilik kelab JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga telah menghantar Setiausaha Sulit Baginda bersama dengan pegawai agama Jabatan Agama Islam Negeri Johor ke Pulau Pinang untuk membantu Syafiq Ahmad.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menzahirkan ucapan takziah menerusi laman sosial twitternya 

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut hadir untuk memberi sokongan kepada Syafiq Ahmad.

Daripada warga Sports 247, takziah diucapkan kepada Syafiq Ahmad, semoga terus tabah menempuh ujian NYA

- Advertisement -