Pelumba Astana Qazaqstan Pro Cycling, Gleb Syritsa menebus kekecewaan semalam apabila memenangi henjutan terakhir ke garisan penamat dalam saingan Peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), hari ini.

Dalam peringkat yang bermula dari Jambatan Angkat di Kuala Terengganu ke penamat di pekarangan AEON Mall, Kota Bharu itu, pelumba Russia berusia 23 tahun yang menduduki tangga ketiga semalam, membuat percaturan terbaik untuk terlebih dulu melintasi garisan penamat dengan catatan 4 jam 15 minit 14 saat.

Dia menewaskan pemenang Peringkat 1 di Kuala Terengganu yang juga penyarung jersi hijau pendahulu tajaan PETRONAS dan jersi oren KBS Raja Pecut dari Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn, serta pelumba tempat ketiga dari Green Project-Bardiani CSF-Faizan, Enrico Zanoncello.

De Kleijn bagaimanapun masih mengekalkan jersi hijau pendahulu PETRONAS dengan masa terkumpul 8 jam 40 minit 46 saat, hanya 2 saat di depan Syritsa; dan 3 mata di depan pelumba Astana itu dalam kutipan mata Raja Pecut.

Jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU bagi Pelumba Terbaik Asia masih kekal milik pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan yang kekal 3 saat di depan pencabar terdekat dari Thailand Continental Team, Sarawut Sirironnachai selepas menamatkan kayuhan di dalam kelompok besar.

Bagaimanapun, jersi polka dot TOURISM MALAYSIA bagi saingan Raja Bukit bertukar tangan kepada pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin, biarpun mengumpul 4 mata, sama dengan penyarung terdahulu yang juga rakan sepasukannya, Muhammad Nur Aiman Zariff.

Sama seperti skrip peringkat sebelum ini, beberapa pelumba cuba meloloskan diri sejak awal dan cubaan Amirull untuk bersama lima pelumba lain selepas zon pecutan pertama, memastikan dia dapat memungut mata penting dalam saingan Raja Bukit di Setiu dan Pelong, serta membolehkan Aiman menyimpan tenaga bagi menghadapi Peringkat 3 yang lebih mencabar.

Hanya selepas itu, pelumba dari Caja Rural Seguros-RGA, Calum Johnston bertindak meloloskan diri secara solo sebelum dia ditangkap peloton pada baki kira-kira 30km terakhir. Atas usaha gigihnya itu membolehkan pelumba kelahiran Scotland itu memenangi anugerah ā€˜Most Combative Riderā€™ tajaan BUBBLES O2.

Syritsa, yang kini mengumpul 2 kemenangan dalam LTdL selepas menawan Peringkat 1 pada LTdL 2022, menyifatkan dia menggunakan taktikal yang tepat untuk menguasai saingan Peringkat 2 hari ini.

ā€œSaya sangat gembira dengan kemenangan ini. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu. Tidak seperti semalam di mana saya melakukan sedikit kesilapan, hari ini saya menunggu masa yang tepat untuk membuat pecutan apabila mengekori pasukan Tudor dan keluar ke depan pada baki 100 meter terakhir.

ā€œSelepas menang peringkat hari ini, jersi Raja PecutĀ  menjadi sasaran saya pula selepas ini,ā€ kata Syritsa.

Sementara itu, De Kleijn mengakui dia tewas kepada lawan yang lebih handal hari ini, walaupun rakan sepasukannya melakukan tugas yang baik untuk menariknya ke bahagian depan peloton.

ā€œSaya rasa seperti tahap kelajuan tidak berubah pada baki 200 meter menyebabkan saya bertindak keluar lebih awal selepas selekoh terakhir. Nyata dia (Syritsa) terlalu kuat hari ini,ā€ kata pelumba Belanda berusia 29 tahun itu.

Menurut De Kleijn, walaupun kecewa, dia yakin untuk terus memburu kemenangan peringkat dan akan berusaha mengekalkan jersi oren KBS itu hingga ke penamat di Kuala Lumpur nanti.

Sementara itu, Amirull berkata, menjadi tugasannya hari ini untuk menguasai mata di dua zon pendakian (Setiu dan Pelong) dan menafikan cubaan mana-mana pelumba lain merampas jersi polka dot Raja Bukit daripada penguasaan TSG.

ā€œMemang itu perancangan pasukan iaitu bagi saya berada dalam kelompok pemecah dan mengutip mata Raja Bukit sebelum kembali dalam kelompok besar. Segala-galanya adalah supaya Nur Aiman boleh berehat sedikit sebelum menghadapi pendakian yang lebih sukar esok.

ā€œBerbeza semalam di mana ada pelumba kami dalam kelompok 10 terbaik, hari ini kami membuat sedikit kesilapan kerana memilih garisan lumba sebelah kiri pada baki 800 meter terakhir.

ā€œAda kumpulan depan juga terpecah menyebabkan kami tersasar sedikit ketika mengambil selekoh terakhir sebelum ke garisan penamat,ā€ kata Amirull yang yakin rakan sepasukannya – Aiman, Jambaljamst Sainbayar dan Jeroen Meijers akan menyinar pada Peringkat 3 Jeli ke Baling sejauh 183.1km, esok.

Disifatkan peringkat yang diramal mengubah kedudukan individu keseluruhan, Peringkat 3 yang bermula berhampiran Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli, hanya mengandungi dua zon pecutan iaitu di Pekan Jeli dan Tasik Temenggur.

Namun pelumba perlu menempuh empat zon pendakian sukar bermula di Jeli pada Km31.7 dengan kategori 2;Ā  Puncak Titiwangsa (Km47.7/kategori 1); Sri Banding (Km87.7/kategori 2) dan Sungai Rui (Km145.7/kategori3) sebelum menuju ke garisan penamat di Jalan Syed Syeh, Baling.

Dijangka kumpulan pelumba akan terpecah kepada beberapa kumpulan kecil dan sama ada ia kekal atau mereka mampu bercantum dengan kelompok pakar pendaki menjelang tiba ke penamat, segala-galanya akan terjawab esok.

Dengan tema ā€˜Beat The Heatā€™ PETRONAS LTdL 2023 sejauh 1,278.1km yang berstatus ProSeries tahun ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

- Advertisement -