Secara kasarnya Liga Malaysia baru sahaja bermula kira-kira dua minggu, dan hanya tiga perlawanan berlangsung bagi kedua-dua saingan Liga Super dan Liga Premier. Begitupun pelbagai cerita kurang enak sudah mula mewarnai arena bolasepak tanah air – dari isu mengatur perlawanan, memecat jurulatih dan kualiti pemain import.

Sejurus tewas kepada Selangor, Presiden Melaka United, Datuk Seri Dr Idris Haron berkata terdapat kemungkinan pemainnya terlibat dalam skandal mengatur perlawanan dan beberapa hari kemudian ia disusuli pula dengan dakwaan sama oleh Presiden Sarawak, selepas pasukannya tewas dengan agak luar biasa kepada Felcra FC.

Tiada sebarang tindakan susulan dari Melaka untuk menyiasat dakwaaan itu namun di Sarawak dua pemain – seorang pemain pertahanan dan tengah – serta seorang bookie telah ditahan untuk membantu siasatan sekaligus memperlihatkan dakwaan Sarawak itu ada asasnya.

Kem Kelantan yang serba kalut dan dilihat kurang berpengalaman menangani tekanan serta desakan penyokong pula membuat keputusan memecat Sathit Bensoh setelah gagal merekodkan kemenangan dalam tiga perlawanan pertama.

Beberapa nama antaranya Datuk M.Karathu, Thomas Trucha dan Darren Stewart sedang dikaitkan untuk dibawa masuk dan buat sementara Yusri Che Lah akan memangku tugas yang ditinggalkan.

Begitupun kualiti pemain import yang ala kadar adalah isu besar yang boleh dikatakan dialami kebanyakan pasukan. Pengenalan kuota import ASEAN membuka kepada kehadiran lebih ramai import dalam liga kita namun sudah kedengaran ura-ura ada pemain sudahpun berada dalam senarai untuk disingkirkan.

Sebagai contoh di Kedah, Pablo Pallares menerima kecaman hebat, di Pahang Chan Vathanaka, di Kelantan Bruno Lopez, Ferdinand Sinaga dan Cassio Fransisco semuanya dikatakan hambar, di PKNP pula Abu Bakar Fadzim berang dengan kesemua lima import, di Perak Misagh Bahadoran bergelut memenangi hati peminat dan di Kuala Lumpur, Juninho  Aparacido dikritik kerana tiada kualiti Liga Super.

Itu hanya memetik beberapa nama dan senarai itu akan bertambah panjang jika dinilai secara terperinci dan kemudian dicampur pula dengan pemain dari skuad Liga Premier.  

Begitupun apa Petunjuk Indeks Prestasi yang sebenarnya ditetapkan untuk pemain-pemain import ini untuk dikatakan sebagai tidak menyerlah ataupun gagal hanya selepas tiga perlawanan?

Jika dia seorang penyerang adakah jumlah jaringan gol menjadi pengukur semata-mata dan sekiranya pertahanan jumlah bolos yang menjadi pengukur? Bagaimana pula dengan sumbangan sepanjang 90 minit permainan?

Alexic Sanchez dan Fernando Torres sekalipun boleh terlepas peluang gol terbuka, pertahanan termahal dunia seperti Virgil Van Dijk juga melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya tetapi adaka mereka segera ‘dicampak’ ke senarai untuk dijual?

Tetapi jika benar prestasi yang menjadi petunjuk, aksi di atas padang sememangnya longlai, maka siapa yang harus dipersalahkan? Setiap pasukan sudah diingatkan dari awal agar berhati-hati, tidak membuat kesilapan sama dan tidak tertukar antara kaca dan permata.

Membuat keputusan terburu-buru untuk mengambil dan kemudian menyingkirkan boleh membawa kesan buruk terutamanya kepada kantung persatuan. Malah, ia juga boleh menjejaskan keserasian antara pemain dan mewujudkan krisis keyakinan di kalangan penyokong.

Memang tiada gunanya menyimpan pemain yang menjadi liability dan tidak menyumbang kepada pasukan, lebih-lebih lagi bila gajinya tiga atau empat kali ganda lebih tinggi dari pemain tempatan namun adakah dengan membawa pengganti keadaan akan menjadi bertambah baik, melainkan pemain itu memang sudah terbukti kredibilitinya.

Persatuan mungkin melihat tindakan ‘menggertak’ pemain bahawa kontraknya akan ditamatkan adalah satu cara untuk pemain itu meningkatkan prestasi, tetapi dalam masa sama dikhuatiri ia akan melunturkan motivasi seterusnya menjadi lubuk buat mereka untuk mengambil kesempatan.

Kita sudah berada di 2018, isu tersilap pilih import sepatutnya tidak lagi wujud. Bertindak secara bijak dan rasional, sebaiknya beri pemain peluang yang secukupnya sebelum memutuskan bahawa mereka sememangnya gagal dan tidak dapat membantu pasukan. Tangani masalah, bukan tambah masalah baru! – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -