Enam pemain negara meneruskan cabaran di kejohanan Terbuka India 2022 ke peringkat suku akhir selepas mengatasi lawan masing masing termasuk diberi kemenangan percuma.

Tumpuan sekali lagi terarah kepada pemain sedang meningkat naik, Ng TZe Yong yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang ke atas wakil Perancis, Lucas Claerbout 20-22, 21-15, 21-18 dan akan berdepan Nhat Nguyen dari Ireland esok.

Usaha Soong Joo Ven bagaimanapun tidak kesampaian apabila tewas kepada juara dunia 2021, Loh Kean Yew straight set 12-21, 12-21.

Tiga wakil beregu campuran Malaysia iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Valeree Siow dan Chen Teng Jie-Peck Yen Wei berjaya melepasi halangan kedua untuk mara ke pusingan seterusnya.

Kian Meng-Pei Jing yang turun selaku pilihan pertama menewaskan gandingan tuan rumah, Siddarth Jakhar-Megha Morchana Bora, 21-6, 21-11 untuk berdepan pasangan Rusia, Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina.

Peng Soon-Valeree yang turun selaku pilihan kelima turut mara selepas menundukkan satu lagi wakil tuan rumah Kasish Sharma-Saruni Sharma 21-6, 21-8 dan seterusnya akan menentang pilihan kedua, Rodion Alimov-Alina Davletova.

Sementara Teng Jie-Yen Wei diberi kemenangan walked over selepas lawan mereka, Sai Pratheek K-Gayatri Gopichand Pullela menarik dari daripada kejohanan itu dan akan menentang pilihan kelapan, Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan.

Beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga diberi kemenangan walked over apabila beregu India, Utkarsh Arora-Akshan Shetty, menarik diri.

Satu-satunya harapan Malaysia dalam kategori beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sen meneruskan aksi cemerlang apabila menyingkirkan pasangan India-Amerika Syarikat, Srivedya Gurazada-Ishika Jaiswal, 21-15, 21-15 dan akan berdepan pilihan ketiga Anastasiaa Akchurina-Olga Morozova dari Rusia.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan hari ini mengesahkan tujuh pemain telah dikeluarkan daripada kejohanan itu selepas disahkan positif COVID-19.

Tanpa menyenaraikan pemain berkenaan, BWF memberitahu bahawa mereka yang dijangkiti tidak akan diganti dalam undian utama dan lawan mereka akan diberi kemenangan percuma ke pusingan seterusnya.

 

- Advertisement -