Oleh Muhammad Aiman

Pasukan Hoki Terengganu (THT) memulakan musim 2017 dengan penuh bergaya apabila mengetepikan kebangkitan cuba dijelmakan Maybank untuk mencatat kemenangan 5-3 dalam aksi final di Stadium Tun Razak dan merangkul Trofi Tan Sri P.Alagendra.

Ianya dilihat suntikan semangat terbaik buat juara berganda Liga Hoki Malaysia (MHL) itu yang akan turun menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Jumaat sekaligus menandakan bermulanya kempen TNB-MHL musim baru.

Kemenangan pada Selasa menyaksikan THT yang tewas kepada Tenaga Nasional Berhad di separuh akhir kejohanan ini tahun lalu, membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000 manakala Maybank selaku naib juara RM30,000.

“Ia adalah perlawanan yang sangat menarik, pemain-pemain beraksi dengan cemerlang dan kita berhak dengan kemenangan ini. Maybank memberi tentangan yang cukup sengit namun kita menangani tekanan dengan baik dan mempamer perwatakan sang juara untuk menang perlawanan ini,” ujar ketua jurulatih THT, Sarjit Singh.

THT menepati status selaku pasukan pilihan apabila menguasai babak awal permainan dan mendahului pada minit ke-15 menerusi jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil namun kelebihan itu tidak bertahan lama Hafifihafiz Hanafi menyamakan kedudukan hanya lima minit selepas itu.

Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun bagaimanapun meletakkan THT kembali di hadapan apabila menyempurnakan sudut penalti pada minit ke-22 dan kemudiannya penalti strok pada minit ke-26 untuk kedudukan 3-1 di separuh masa pertama.

Maybank tidak menyerah dengan mudah apabila tampil dengan aksi bertenaga di suku ketiga dan berjaya mendapatkan jaringan menerusi Man Hyun Woo pada minit ke-39 dan Hafifihafiz pada minit ke-42 untuk mnegikat kedudukan 3-3.

Di sebalik kerja keras Maybank untuk kembali dalam permainan, ianya THT yang akhirnya muncul pemenang setelah Tengku Ahmad Tajuddin menjaringkan gol keempat pada minit ke-51 dan Jong Hyun melengkapkan hatriknya, yang juga gol kesembilannya di Piala Tan Sri P.Alagendra pada minit ke-58.

- Advertisement -