Wan Azraie Wan Teh

Terengganu memperlihatkan keinginan untuk memberi cabaran serius dalam saingan Liga Super musim depan apabila aktif merekrut pemain-pemain berkualiti dan mempunyai nama dalam arena bolasepak tempatan untuk memperkuatkan pasukan.

Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan setakat ini tiga pemain iaitu penjaga gol Wan Azraie Wan Teh; bekas pemain kebangsaan Fitri Omar (gambar utama) serta bekas penyerang import Negeri Sembilan, Andrew Lee Tuck antara wajah baru yang akan menyarung jersi pasukan itu.

Pengalaman Wan Azraie yang mewakili naib juara Liga Super dan Piala FA, Pahang musim ini nyata sangat diperlukan bagi memantapkan benteng terakhir sang penyu yang serba pincang setelah tiga penjaga gol mereka Sharbinee Allawee Ramli, Amierul Hakimi Awang dan Syazwan Yusoff semuanya terpaksa diketepikan.

Sharbinee yang hanya beraksi tiga perlawanan musim ini masih lagi belum pulih dari masalah kesihatan yang dialaminya, manakala Amierul dan Syazwan pula sedang merawat masalah kecederaan.

“Rundingan berjalan lancar dan pemain itu (Wan Azraie) tiada masalah untuk mewakili kita. Dia pernah bersama pasukan ini sebelum ini dan dia juga pemain kelahiran Terengganu, jadi saya fikir dia tidak berdepan masalah sesuaikan diri,” kata Irfan.

Fitri yang beraksi di posisi pertahanan kiri pula direkrut dari skuad juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia, Kedah. Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini turut pernah menyarung jersi  Pulau Pinang, Kelantan, ATM selain T-Team secara pinjaman.

“Kita harapkan Fitri akan dapat mengulangi prestasi ditunjukkan bersama bekas pasukannya dan memberi impak kepada usaha Terengganu berada dalam kelompok pasukan elit,” tambah Irfan.

Sementara itu, kehadiran Andrew yang menamatkan musim sebagai salah seorang penjaring terbanyak Negeri Sembilan dengan sembilan gol dalam semua pertandingan dijangka menjadikan barisan serangan skuad naib juara Liga Premier 2017 antara yang dicemburui ramai.

Ini kerana pemain kelahiran England itu bakal digandingkan dengan ‘drogba’ Terengganu, Tchetche Kipre bagi merobek gawang lawan.- OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -