“Jika bukan kerana ketua jurulatih dan rakan sepasukan, mungkin saya tidak selalu berpeluang untuk ambil sepakan percuma,” demikian kata pemain tengah Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad.

Menurut pemain berkenaan yang muncul wira di sebalik kemenangan 1-0 Kelantan semasa berdepan UiTM FC pada Isnin, dia mengakui kebiasaannya bukan mudah pemain tempatan diberikan tugasan itu jika pasukan sudah mempunyai pemain import.

Namun,segalanya berbeza di Kelantan melalui kepercayaan diberikan Rezal Zambery Yahya selaku pengendali pasukan sambil kerjasama baik diberikan pemain import.

” Kalau diikutkan, sepakan percuma salah satu kepakaran saya namun apabila bermain dengan pasukan yang ada import,memang agak sukar untuk saya bersaing.

” Mereka sentiasa akan ke depan terlebih dahulu untuk ambil sepakan percuma walaupun ada kalanya mungkin pemain tempatan sebenarnya ada teknik lebih baik.

” Namun mungkin rezeki buat saya kerana Rezal merupakan penolong jurulatih semasa kami sama-sama di UKM,jadi beliau tahu kekuatan yang saya miliki.

” Bukan itu sahaja, pemain import lain seperti (Kervens) Belfort juga sentiasa berikan galakan kepada saya semasa situasi sepakan percuma.

” Saya bersyukur kerana ini kali kedua sepakan saya menjadi selepas aksi dengan Perak, keyakinan saya kian melonjak tinggi untuk terus ambil sepakan percuma pada perlawanan akan datang,” katanya.

Walaupun bergelut sebahagian besar perlawanan, kehadiran Syed Sobri di babak kedua mengubah nasib pasukan dan jaringannya pada minit 76 sudah mencukupi buat Kelantan kembali ke takhta Liga Premier.

Kemenangan itu juga sangat bermakna buat Kelantan yang tampil pertama kali di laman sendiri iaitu di Stadium Sultan Muhammad ke IV bagi saingan Liga Premier 2022.

Dalam pada itu, Syed Sobri jelaskan Kelantan masih dalam proses mendapatkan kecergasan bagi bermain secara kompetitif selepas hampir dua bulan tidak turun beraksi.

Justeru beliau mengharapkan penyokong Kelantan dapat bersabar selain kehadiran pemain baharu yang masih dalam proses membina keserasian.

” Memang sedikit terasa dalam soal kecergasan kerana perlawanan terakhir kami dengan Kelantan United ( 27 Mei) dan pasukan telah lama berehat.

” Jadi apabila turun semalam serta ditambah beraksi di bawah cuaca panas pada waktu petang,memang sedikit sebanyak ganggu rentak pasukan dan harap persembahan kami boleh lebih baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.

- Advertisement -