Sukma XVII Perlis 2014 LogoKANGAR – Penganjuran Sukan Malaysia ke 17 dianggap berjaya meskipun terdapat beberapa masalah pada peringkat awal, namun kesungguhan Perlis menjadi tuan rumah yang baik seharusnya diberikan pujian.

Kecuali dewan badminton dan pusat akuatik yang menjadi berita hangat berikutan beberapa masalah dan isu kelewatan, lain-lain venue pertandingan semuanya memenuhi standard penganjuran SUKMA.

Dari segi lain, Perlis tidak kalah kepada tuan rumah SUKMA terdahulu. Sistem pengangkutan, perkampungan atlet, makanan, sistem ICT, kemudahan media serta beberapa perkara asas lain dalam penganjuran SUKMA, semuanya berjaya diurus dengan berkesan oleh jawatankuasa penganjur SUKMA Perlis.

”Tidak ada masalah serius di Perlis, hampir kesemua aspek penganjuran berjaya di laksana dengan baik di sini malah kita juga tidak menerima sebarang aduan mengenai sistem pengangkutan dan masalah trafik. Kita juga tidak menerima sebarang aduan mengenai kelewatan atlet di lokasi pertandingan yang disebabkan oleh masalah pengangkutan,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Dari segi perbelanjaan penganjuran SUKMA ke 17 yang menelan belanja RM121 juta, ianya dianggap sebagai kos yang munasabah memandangkan kerja-kerja menaik taraf hampir kesemua venue pertandingan, serta pembinaan 3 gelanggang baru.

Tetapi, yang lebih penting selepas ini, Perlis perlu memastikan semua venue tersebut tidak menjadi ’gajah putih’ selepas ini, sebaliknya Perlis mencontohi Terengganu yang muncul antara kuasa utama Sukan Malaysia sejak menjadi tuan rumah pada 2008.

”Ini merupakan peluang Perlis untuk menaikkan imej mereka dalam bidang sukan. Saya lihat beberapa venue seperti venue tinju, tenis, menembak dan skuasy berada dalam kondisi yang sangat baik dan ianya perlu digunapakai sepenuhnya selepas ini terutama bagi aktiviti pembangunan sukan,” tambah Zolkples.

SUKMA kali ini di Perlis meneruskan tradisi pembangunan sukan melibatkan 4,863 atlet dengan 1,452 darinya merupakan atlet-atlet pelapis. Sebanyak 5 rekod kebangsaan berjaya di pecahkan 2 menerusi olahraga dan 3 dari acara Kanu manakala 30 rekod SUKMA diperbaharui.

Upacara penutup SUKMA malam ini akan disempurnakan Perdana Menteri, DatukSeri Najib Tun Razak di Stadium Tuanku Syed Putra bermula jam 8.30 malam.

- Advertisement -