Menang penentuan penalti 2-0 

TERENGGANU Hockey Team (THT) mengulangi kejayaan dua tahun lepas untuk muncul juara Piala TNB 2021 selepas menewaskan UniKL pada perlawanan akhir menerusi pukulan penentuan penalti 2-0 di Stadum Hoki Nasional malam ini. 

Kedua-dua pasukan terikat 4-4 pada masa penuh perlawanan dengan lima jaringan terhasil pada separuh masa pertama. 

Penjaga gol THT Muhammad Hafizudin Othman dijulang sebagai wira apabila menyekat kesemua empat percubaan pemain UniKL semasa penentuan strok penalti. 

Kejayaan itu sekaligus menebus kehampaan THT apabila tewas di tangan UniKL musim lepas selain memberikan Piala TNB keenam buat gergasi hoki Pantai Timur itu. 

Bagi UniKL, kekalahan di tangan THT sekaligus menyekat hasrat mengulangi kejayaan treble tahun lepas biarpun pulang dengan dua gelaran sebagai juara Piala Sumbangsih dan Juara Liga. 

Tambah memeritkan buat UniKL ialah kekalahan 0-1 UniKL Ladies, yang merupakan juara liga wanita dalam penampilan pertama mereka, di tangan PKS Uniten-KPT pada perlawanan akhir Piala Vivian May Soars. 

Syarman Mat Tee dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi menghasilkan kemenangan buat THT menerusi dua jaringan shootout manakala kesemua keempat pemain UniKL termasuk ketua pasukan Marhan Jalil menemui kegagalan disekat aksi cemerlang Muhammad Hafizuddin. 

Sebaik perlawanan bermula, tampak seakan berpihak kepada UniKL yang nyata menguasai gerakan pada awal suku pertama. Penyerang kebangsaan berpengalaman Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil mengejutkan THT dengan dua jaringan berturut-turut dalam tempoh empat minit, pertama menerusi jaringan padang minit ke-9 dan gol kedua hasil strok penalti pada minit ke-13. 

Begitupun, THT bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang penyerang utama Faizal Saari pada minit ke-15 diikuti Muhammad Arif Syafie Ishak dua minit kemudian.

Mohamad Akhimullah Anuar Esook meletakkan THT di depan menerusi satu jaringan cantik reverse hit untuk THT mendahului 3-2.

UniKL kembali bangkit pada separuh masa kedua menerusi  gol sudut penalti Muhammad Razie Rahim pada minit ke-35 sebelum Faizal Saari mengemudi THT kembali di depan dengan gol padang pada minit ke-38.

Gol minit ke-51 oleh penyerang UniKL Mohamad Ashran Hamzani menyelamatkan UniKL dan memaksa perlawanan ditentukan menerusi penalti shootout.

Jurulatih THT, K. Rajan lega dengan kejayaan malam ini memang sesuatu yang membanggakan kerana berjaya kembali dari ketinggalan pada satu ketika untuk melakar kemenangan. 

“Kami terpaksa bekerja keras sepanjang permainan tetapi secara keseluruhan, satu perlawanan yang menarik dan menghiburkan untuk peminat hoki. Jika dinilai dari keseluruhan kempen musim ini, tidak banyak membezakan THT dan UniKL musim ini,” kata Rajan.

Ketua pasukan Faizal Saari melahirkan rasa puas hati dengan kejayaan malam ini dan menyifatkan antara yang paling manis dalam karier hoki beliau. “Amat puas kerana kami dapat kembali setelah ketinggalan dan seterusnya menang dalam penentuan penalti,” kata beliau.  

Jurulatih UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi beliau tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya puas hati dengan prestasi pemain secara keseluruhan. “Tak adil untuk salahkan sesiapa, yang penting pemain dah berikan yang terbaik sepanjang liga, cuma keputusan saja tak menyebelahi kami malam ini.”

Sementara itu,TNB mengubat kehampaan dengan meraih kedudukan ketiga Piala TNB selepas menumpaskan Maybank 1-0 hasil jaringan Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-31. 

 

SENARAI PENGHARGAAN:

LIGA HOKI KEBANGSAAN (Premier) 

Juara: UniKL 

Naib Juara: THT

 

PIALA TNB

Juara: THT

Kedua: UniKL

Ketiga: TNB

Penjaring Terbanyak: Faizal Saari (16 gol) 

- Advertisement -