pemain-sapura-gurbaj-singh-kanan-diasak-kapten-klhc-sukri-mutalib-dalam-aksi-separuh-akhir-piala-tnb-sapura-menang-3-1
Pemain Sapura, Gurbaj Singh (kanan) diasak kapten KLHC, Sukri Mutalib dalam aksi separuh akhir Piala TNB. Sapura menang 3-1.

Oleh Muhammad Aiman

Terengganu Hockey Team (THT) boleh diibaratkan sebelah kaki melangkah ke aksi final Piala TNB setelah tampil dengan satu lagi aksi impresif bertenaga untuk membelasah Maybank 6-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Kemenangan menyaksikan THT yang baru sahaja bergelar juara Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia buat kali ketiga berturut-turut pada Ahad lalu berada di landasan tepat untuk mempertahankan Piala TNB – juga kali ketiga berturut-turut – setelah memenanginya pada 2014 dan 2015.

“Inilah aksi yang saya tuntut daripada pemain saya, tetapi kami tidak boleh lega kerana ini baru separuh jalan. Masih ada pusingan kedua yang perlu diharungi dan kami perlu fokus, tidak boleh leka atau lakukan kesilapan untuk mara ke final dan lakukan yang sebaik mungkin untuk menjulang Piala TNB,” kata Sarjit Singh, ketua jurulatih THT.

Pada perlawanan itu, ianya Maybank yang terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan padang Muhammad Firdaus Fauzi pada minit ketujuh sebelum THT bangkit menyamakan kedudukan sepuluh minit kemudian menerusi Ismail Abu.

Meskipun berjaya mengimbangi permainan di separuh masa pertama, kehilangan B.Namasivayam kerana kecederaan menyaksikan Maybank sedikit terjejas di bahagian pertahanan dan melepaskan lima gol di separuh masa kedua bermula dengan jaringan Faizal Shaari pada minit ke-44.

Ia kemudiannya disusuli jaringan kedua peribadi Ismail pada minit ke-49, Jang Jong Hyun pada minit ke-51, Faizal sekali lagi pada minit ke-53 dan pesta gol mereka dilengkapkan Amirul Mirza pada minit ke-57.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, naib juara liga, Sapura membawa bekalan dua gol untuk aksi pusingan kedua setelah menundukkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 3-1 di Stadium Tun Razak.

Gol buat skuad bimbingan Yahya Atan dijaringkan oleh Oscar William Wookey pada minit ke-35, Philip Ross Burrows (m-42) dan Gurbaj Singh (m-52) manakala KLHC membalas menerusi Hyunwoo Nam pada minit ke-40.

“Saya cukup berpuas hati dengan kemenangan ini, pemain-pemain menunjukkan kerjasama sepasukan yang cukup baik terutamanya ketika bertahan. Cuma, kami perlu untuk menggerakkan bola dengan lebih laju dan akan cuba memperbaiki aspek itu menjelang aksi kedua pada Jumaat,” jelas Yahya.

Aksi separuh akhir kedua akan berlangsung pada Jumaat ini dengan pertemuan THT dan Maybank berlangsung di Batu Buruk manakala KLHC melayan Sapura di Stadium KLHA Jalan Pantai.

- Advertisement -