Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan status perlawanan Liga Super 2020 melibat pasukan Kedah dengan Sabah yang dijadual pada 19 September depan masih kekal.

Persoalan timbul selepas Majlis Keselamatan Negara (MKIN) memutuskan untuk melakukan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar, Kedah susulan peningkatan kes Covid 19.

PKPD di mukim Kota Setar bermula hari ini sehingga 25 September depan.

Menerusi kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan pihaknya mungkin akan melakukan perubahan venue perlawanan andai situasi semasa jangkitan Covid 19 bertambah serius.

“Jika ia (aksi di Stadium Darul Aman) tidak mendapat kebenaran kerajaan, MFL telah pun mengkaji beberapa mekanisme lain termasuk bermain di luar daripada negeri itu.

“Kami berharap kesemua pasukan memahami dan tidak mempertikaikan jika berlaku perubahan jadual Liga Super nanti, kerana kita sedang berdepan masalah pandemik COVID-19 dan PKPD Kedah,” kata Datuk Ab Ghani.

MFL juga memberi jaminan perkembangan semasa perkembangan COvid 19 di mukim tersebut.

“Kami akan mengikuti perkembangan PKPD di Kota Setar serta berhubung dengan pasukan Kedah dan pasukan lawan yang menentang Kedah, bagi memastikan segala maklumat semasa dapat dikemas kini sebelum memutuskan sebarang perubahan jadual disebabkan pandemik COVID-19.

“Namun MFL memandang serius perkembangan terkini apa yang berlaku di Alor Setar, di mana kami akan mengambil pendekatan meninjau situasi COVID-19 daripada masa ke semasa,” kata Ab Ghani lagi.

- Advertisement -