Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan jurulatih baru Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak perlu tertekan dengan tanggungjawab besar yang digalasnya itu kerana tiada sasaran tinggi diletakkan ke atasnya, setidak-tidaknya buat masa ini.   

Tunku Mahkota Johor itu berkata FAM akan memberi masa, ruang dan sokongan secukupnya kepada Cheng Hoe yang dilantik menggantikan Nelo Vingada dua hari lalu untuk menjalankan tugasnya dengan baik dengan sasaran utama diletakkan adalah merubah mentaliti pasukan. 

“Masalah skuad kebangsaan kita, di setiap peringkat umur bukan semata-mata mengenai tidak memenangi perlawanan atau jarang mencatat keputusan positif, tetapi ianya lebih dari itu. Semua orang melihat dari luar, pasukan ini tidak menang, itu yang mereka nampak tetapi tiada yang tahu apa punca dan masalah dalaman.

“Bila kalah mereka salahkan jurulatih, salahkan Presiden tetapi masalah kita adalah lebih dari itu. Saya tidak akan lari dari tanggungjawab, saya akan buat yang saya termampu untuk mengembalikan seri skuad kebangsaan. Sebab itu, saya anggap pelantikan Tan Cheng Hoe adalah yang sesuai mengambil kira situasi semasa.

“Saya tidak mahu letak sasaran tinggi menggunung, sasaran pertama adalah ubah pemikiran, terapkan mentaliti mahu menang. Pemain-pemain tidak harus melihat mewakili pasukan negara sebagai satu beban, keinginan mesti ada, anggap ia satu penghormatan.

“Saya percaya dalam tempoh terdekat akan ada peningkatan ditunjukkan. Tiada sasaran khusus, cuba catat keputusan positif dan kesinambungannya akan dapat kita lihat pada jangka masa panjang,” ujar TMJ selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco FAM di Kelana Jaya, pada Sabtu.

Baginda juga memberi kebebasan kepada Cheng Hoe untuk menentukan sekiranya mahu membawa masuk barisan penolong jurulatih yang baru sebagai menggantikan Joao Arnaldo Correia dan Francisco Jose Bruto da Costa yang turut melepaskan jawatan, mengikut jejak Vingada. 

Sementara itu, FAM turut memeterai perjanjian penajaan bersama Yakult Malaysia bernilai RM3.9 juta menyaksikan Yakult menjadi minuman probiotik rasmi FAM selama tiga tahun bermula 2018.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -