Pemain tengah Pahang, Faisal Abdul Halim amat berharap akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi untuk kembali beraksi selepas dihimpit kecederaan.

Faisal atau lebih dikenali sebagai “Mickey” berdepan kecederaan buku lali ketika aksi terakhir CIMB Liga Super berdepan Terengganu FC (TFC) minggu lalu yang menyaksikan Pahang tewas 1-2.

Walau bagaimanapun, pemain muda berusia 22 tahun itu melihat kecederaan yang dialami tidak begitu serius sehingga memakan masa yang lama untuk pulih sebaliknya percaya mampu kembali dalam skuad utama bagi menghadapi TM Piala Malaysia.

Jelasnya, dia enggan terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij itu yang bakal bermula pada 6, 7 dan 8 November depan memandangkan format perlawanan adalah kalah mati dan mahu membantu pasukan sebaiknya untuk mara ke final, musim ini.

“Sekarang kecederaan saya sudah 80 peratus pulih dan saya percaya dalam seminggu lagi dah boleh main atas padang semula, jadi memang kena betul-betul fokus untuk cergas sepenuhnya.

“Cuma memang saya harap bukan sahaja saya, tetapi pemain-pemain lain juga akan turut sama pulih sebelum TM Piala Malaysia bermula dan ada yang dah mula masuk padang, cuma saya masih risau dengan kaki, jadi saya mula dengan berlari terlebih dahulu.

“Sekarang memang kena fokus latihan sebaiknya sebab kita tahu wabak COVID-19 semakin membimbangkan dan sebab itulah, perlawanan pun terpaksa ditunda.

“Saya sebenarnya banyak belajar apa yang dah berlaku pada tahun ini, sebab biasanya pertengahan November, tiada perlawanan dah, jadi tahun ni memang berbeza dan sebagai pemain, kita kena hadap juga,” katanya.

Selain Faisal, Adam Reed dan Zuhair Aizat Nazri turut sama berdepan kecederaan ketika menentang TFC minggu lalu sekaligus menambah lagi senarai pemain yang cedera termasuklah tonggak utama Dickson Nwakaeme, Herold Goulon dan R. Dinesh.

Semestinya ia menambah kegusaran pengendali, Dollah Salleh ketika ini, namun tempoh masa yang ada sebelum TM Piala Malaysia bermula beri bayangan pemain-pemain yang cedera itu mampu untuk kembali memperkuatkan pasukan sebelum sepak mula.

Pahang menamatkan saingan CIMB Liga Super di tangga ketujuh dengan 14 mata secara keseluruhan di mana ia merupakan pencapaian kurang memuaskan berbanding musim lalu yang menyaksikan mereka bergelar naib juara.

- Advertisement -