pahang.wins

Oleh Muhammad Aiman

Tempoh rehat panjang Liga Malaysia mahu dimanfaatkan sebaiknya Pahang yang terdesak untuk memperbaiki prestasi hambar mereka musim ini, apabila mereka bertandang ke Singapura untuk mengharungi tiga perlawanan persahabatan.

Selepas perlawanan menentang Geylang United malam ini, skuad bimbingan Razip Ismail akan berdepan pula dengan Police Sport Association pada Ahad sebelum menutup kunjungan ke seberang tambak dengan menentang Eunos Cresecent FC pada Isnin.

Dengan saingan Liga Super dan Piala Malaysia akan berlangsung serentak bermula Julai, Razip yang mengambil alih tugas jurulatih dari Ahmad Shaharudin Rosdi pada April lalu perlu segera mencari solusi bagi mengatasi kemelut prestasi dan krisis keyakinan dihadapi skuadnya jika tidak mahu menamatkan musim dengan tangan kosong.

Tok Gajah mengharungi musim 2016 penuh kontra berbanding kejayaan menamatkan musim lalu selaku naib juara di belakang JDT, apabila terperosok di tangga kedua tercorot Liga Super dengan hanya mengutip sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri.

Mereka tewas 0-3 dan 0-6 dalam dua aksi terakhir Liga Super menentang JDT sebelum liga berhenti rehat namun di sebalik prestasi yang tidak begitu memberansangkan, Pahang bernasib baik untuk tetap layak beraksi di Piala Malaysia.

Juara 2013 dan 2014 itu diundi sekumpulan bersama juara bertahan Selangor, juara 2012 Kelantan serta pencabar dari Liga Perdana Kuala Lumpur.

Di atas kertas, Pahang tidak diletakkan sebarang harapan besar untuk melepasi halangan peringkat kumpulan justeru Razip pastinya menjadikan ia sebagai satu cabaran untuk segera memperbaiki kelemahan seterusnya menuntut prestasi terbaik dari pemainnya bagi menepis segala kritikan.

- Advertisement -