Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal mengesahkan slot ke pusingan suku akhir selepas tumpas ditangan wakil China yang juga juara bertahan, Chen Long.

Suasana yang rancak bertukar sepi seketika di awal apabila Lee Zii Jia menerima rawatan seketika selepas tangannya mengalami sedikit kecederaan sebelum permainan disambung semula.

Permainan mental ditunjukkan Zii Jia yang tenang dan sabar untuk melihat gerakan Chen Long sebelum melakukan return selain kemampuannya untuk membalas smash pemain berusia 32 tahun itu untuk memastikan kemenangan 21-8.

Rekod pertemuan seimbang dimana kedua dua pemain mencatat dua kemenangan dalam empat pertemuan terdahulu tampak bukan menjadi ukuran di Olimpik apatah lagi Chen Long ‘menghilangkan diri’ tanpa sebarang aksi selepas di All England Mac lalu.

Zii Jia tampak kurang selesa dengan kecederaan apabila melepaskan mata demi mata kepada Chen Long di dua set berikutnya sebelum kecundang 19-21, 5-21 selepas bertarung selama 70 minit

“Di set kedua saya banyak ketinggalan mata dan cuba kejar tetapi tidak berjaya. Chen Long bertukar tukar strategi dan ia menyukarkan saya.

“Ini adalah olimpik pertama, apa yang saya ada, sudah saya keluarkan. Saya tahu ia bukan keputusan yang bagus tetapi ini adalah pengalaman yang baik untuk saya.

“Saya rasa olimpik ini agak berbeza dengan kejohanan yang pernah disertai kerana tekanannya berbeza dan sukar untuk dikawal. Tetapi ianya pengalaman yang bagus dan saya akan pelajarinya,”kata Lee Zii Jia yang ditemuramah di Astro Arena selepas tamat perlawanan.

 

 

- Advertisement -