Terengganu-Polygon Cycling Team (TSG) akan mengetuai cabaran pasukan dari Asia Tenggara pada edisi ke-27 Le Tour de Langkawi 2023, 23-30 September depan.

Sebagai pasukan profesional benua yang berjaya dan berpengalaman luas di peringkat antarabangsa, TSG dilihat lebih berkemampuan berbanding pasukan Asia Tenggara lain seperti 7-Eleven Cliqq-Air21 dari Filipina, Nusantara Cycling Team (Indonesia), Roojai Online Insurance (Thailand) dan skuad kebangsaan Malaysia.

Walaupun TSG tidak berlumba sejak beberapa minggu lalu berikutan pelumba tempatan memberi tumpuan terhadap kejohanan kebangsaan di Melaka, mereka masih berada di tahap yang sungguh baik kerana mereka menghantar pelumba import ke Jelajah Huangshan di China.

Berdasarkan ranking terbaru oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 18 Julai, pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu kini berada di tangga ke-35 dunia dengan 1009 mata.

Ini mengatasi pasukan Asia Tenggara lain seperti Roojai (tangga ke-40) dan 7-Evelen Cliqq (105) manakala Nusantara pula berada di luar kelompok 250 terbaik dunia.

Bagaimanapun, kedudukan itu mungkin berubah beberapa anak tangga berikutan keputusan positif yang dilakar oleh TSG di Tour of Huangshan yang berakhir Ahad lalu di mana Jambaljamts Sainbayar menang Peringkat 2 dan menduduki tangga kedua keseluruhan.

Di peringkat domestik pula, pemenang jersi Raja Bukit dua kali dalam LTdL, Muhamad Nur Aiman Zariff pula menjuarai acara lepas beramai-ramai di Kejohanan Kebangsaan di Bukit Katil, Melaka, Ahad lalu.

Berdasarkan reputasi dalam LTdL sendiri, TSG nyata lebih menonjol dengan sekali kemenangan jersi kuning pada LTdL 2018 menerusi Artem Ovechkin, serta mengumpul empat kemenangan peringkat daripada Ovechkin (Peringkat 5 LTdL 2018) dan tiga daripada Harrif Saleh (Peringkat 2 LTdL 2019; serta Peringkat 5 dan 7 LTdL 2020).

Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi 2023, Emir Abdul Jalal berkata, selain pasukan kebangsaan Malaysia, TSG tidak syak lagi menjadi tumpuan peminat tempatan terutama untuk menyaingi pasukan handalan WorldTeam dan ProTeam dari Eropah yang dijemput kali ini.

“Kehadiran beberapa pelumba dari Eropah, Afrika dan Asia serta pelumba tempatan dalam senarai roster pasukan TSG seperti Jeroen Meijers (Belanda), Anatoli Budiak (Ukraine), Yousef Reguigui (Algeria), Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) dan Jesse Ewart (Ireland) menambah resepi kekuatan dan daya tarikan pasukan ini.

“Walaupun pihak penganjur belum menerima senarai penuh enam pelumbanya untuk LTdL ini, saya yakin TSG tetap tampil dalam keadaan penuh bersedia terutama untuk menambah koleksi kemenangan peringkat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, kehadiran dua pelumba kelahiran Malaysia dalam pasukan Roojai iaitu Loh Sea Keong dan Muhammad Danieal Haikal Eddy Suhaidee juga menarik perhatian peminat tempatan, selepas pasukan itu gagal membuat penampilan dalam LTdL tahun lalu.

Kekuatan Roojai yang akan tampil kali pertama dalam LTdL 2023 tidak boleh dinafikan kerana selain beberapa pelumba Eropah seperti Lucas Karstensen (Jerman), Fast Konstantin (Rusia), Adne Van Engelen (Belanda) dan Polychronis Tzortzakis (Greece) selain jaguh Mongolia, Tegshbayar Batsaikhan, ia turut mempunyai juara kebangsaan Laos, Ariya Phounsavath dan juara kebangsaan B-23 Thailand, Thimachai Kongphob.

Pasukan Filipina, 7-Evelen Cliqq juga bukanlah nama baru kerana sudah beberapa kali mengambil bahagian dalam LTdL dan pengalaman berkayuh dalam jelajah ini pasti membuatkan mereka tampil lebih bersedia kali ini.

Sementara itu, pasukan baru dari Indonesia, Nusantara Cycling Team yang menyenaraikan dua pelumba import, Alizadeh Hoessin (Iran) dan Afiq Huznie Othman (Malaysia) dalam senarai pelumbanya, juga tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi mereka mempunyai jadual perlumbaan padat dalam persiapannya untuk ke LTdL ini.

“Satu lagi pasukan yang akan sentiasa disoroti peminat tempatan ialah skuad kebangsaan Malaysia yang agak tenggelam sejak beberapa tahun lalu. Berbekal kejohanan kebangsaan dan beberapa jelajah yang akan disertai mereka, saya yakin jurulatih Yusof Nasir akan memasang strategi terbaik bagi menceriakan peminat tempatan,” kata Emir.

LTdL 2023 yang berstatus ProSeries dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan berlangsung lapan peringkat dari 23-30 September depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,280.3km dan melalui 11 daripada 12 negeri di Semenanjung.

 

PASUKAN ASIA TENGGARA

  1. TERENGGANU-POLYGON CYCLING TEAM (MAS)
  2. ROOJAI ONLINE INSURANCE (THA)
  3. 7-ELEVEN CLIQQ-AIR21 (PHI)
  4. NUSANTARA CYCLING TEAM (INA)
  5. PASUKAN KEBANGSAAN MALAYSIA (MAS)

 

- Advertisement -