Rachel Arnold

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat pemain kebangsaan, Rachel Arnold untuk merangkul gelaran kedua kariernya di Kejohanan Skuash Terbuka Pulau Pinang tidak kesampaian setelah tewas kepada Tong Tsz Wing dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Nicol David, pada Sabtu.

Meskipun tampil dengan aksi bertenaga dan memberi tentangan sengit kepada pemain Hong Kong itu, Rachel, pilihan keempat kejohanan tewas dalam pertarungan lima set mendebarkan yang berlanjutan 70 minit.

Pemain berusia 20 tahun itu bermula dengan langkah kanan apabila memenangi set pertama 11-7, namun Tsz Wing yang juga pilihan kedua bangkit memenangi dua set berikutnya  11-7 , 12-10 untuk mendahului 2-1.

Tidak mengalah, Rachel menyamakan kedudukan 2-2 dengan memenangi set keempat 12-10 sekaligus mengheret perlawanan ke set penentuan namun aksi sengit dalam empat set awal gagal diulangi di set kelima yang mana menyaksikan Tsz Wing memanfaatkan pengalamannya untuk menang mudah 11-3 dan mengesahkan kejuaraan.

Selaku juara, Tsz Wing pemain di ranking ke-57 dunia membawa pulang hadiah wang tunai $5,000 (RM15,082).

- Advertisement -