field-hockey-2

Oleh Muhammad Aiman

Skuad hoki kebangsaan bakal turun beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 yang akan berlangsung dari 6-16 April depan dengan sasaran utama mahu memperbaiki pencapaian menduduki tangga tercorot tahun lalu.  

Skuad kendalian Stephen Van Huizen bagaimanapun dijangka berdepan cabaran berliku apabila bukan sahaja menentang empat pasukan yang dalam persiapan untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro, tetapi turut kehilangan khidmat pemain paling berpengalaman yang juga penjaga gol utama, S.Kumar.

Kumar, 37 tahun terpaksa digugurkan daripada senarai 18 pemain untuk kempen kali ini disebabkan masalah kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika menentang Australia pada aksi terakhir Jelajah Oceania minggu lepas dengan tempatnya mungkin akan digantikan sama ada Hafizudin Othman ataupun Hairi Abdul Rahman.

Skuad negara pulang dari Jelajah Oceania selama lebih 10 hari dengan tiga kemenangan, dua seri dan lima kekalahan.

Disuntik motivasi dan keyakinan baru menerusi adunan muka baru dan lama dalam pasukan, Stephen sudah tentunya tidak mahu kehilangan Kumar merencatkan persiapan pasukan sebaliknya menjadi pembakar semangat buat mereka untuk memberikan aksi terbaik di Piala Sultan Azlan Shah nanti.

Kejohanan membabitkan tujuh buah negara ini disertai juara bertahan New Zealand, juara lapan kali Australia, juara lima kali India, juara tiga kali Pakistan serta Jepun dan Kanada.

Malaysia akan membuka kempen kali ini dengan menentang New Zealand pada 6 April, diikuti Jepun (7 April), Australia (9 April), Kanada (12 April), Pakistan (13 April) dan menutup tirai aksi peringkat kumpulan dengan menentang India pada 15 April.

Pada edisi ke-24 tahun lalu, Malaysia menamatkan aksi peringkat kumpulan di tangga kelima dengan dua kemenangan tetapi mengakhiri kejohanan di kedudukan terakhir selepas tunduk menerusi penentuan penalti kepada Kanada dalam aksi klasifikasi tempat kelima. 

Untuk rekod, sepanjang kejohanan ini dianjurkan Malaysia tidak pernah sekalipun bergelar juara dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara sebanyak lima kali iaitu 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014 manakala rekod terbaik dipegang oleh Australia yang muncul juara sebanyak lapan kali dan naib juara tiga kali.

Skuad 18 pemain Malaysia

Penjaga gol: Hairi Abdul Rahman, Hafizuddin Othman

Pertahanan: Najib Abu Hasan, Sukri Mutalib, Razie Abd Rahim, Faiz Helmi Jali, Izad Hakimi

Tengah: Marhan Jalil, Fitri Saari, Joel Samuel Van Huizen, Nabil Fikri Md Nor, Meor Mohamad Azuan Hasan

Penyerang: Ramadan Rosli, Haziq Samsul, Firhan Ashari, Nik Aiman Rozemi, Shahril Saabah, Rashid Baharom

- Advertisement -