Oleh Ku Mohd Lufti

Calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan hanya memerlukan satu penggal sahaja untuk mengubah senario bolasepak di Malaysia andai diberi kepercayaan untuk menerajui badan itu.

Fokus utama Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) untuk meningkatkan mutu bolasepak negara adalah penswastaan liga dan pembangunan akar umbi yang efisien.

“Saya rasa ia (perubahan) mengambil masa kurang dari empat tahun atau mungkin kurang dari dua tahun,” katanya ketika ditemui dalam sesi pertemuan bersama penyokong bola sepak di ibu negara. 

“Saya yakin kerana saya percaya apabila kita meletakkan setiap komponen di tempat yang betul, Insya-Allah kita akan lihat banyak perubahan yang drastik dan positif,” kata Tunku Ismail.

Pertandingan bagi kerusi utama FAM bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu diantara Tunku Ismail dengan penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kongres Pemilihan FAM bagi Penggal 2017 – 2021.

Tunku Ismail bagaimanapun tidak mahu terlalu yakin bahawa dirinya akan dipilih untuk menjadi Presiden FAM, bahkan menyerahkan keputusan itu di tangan ahli gabungan.

“Jikalau ada unsur-unsur politik, saya tidak tahu saya boleh menang atau tidak tetapi itu terpulang kepada ahli gabungan dan juga rakyat. 

“Apa yang rakyat inginkan. Terpulang kepada ahli gabungan siapa mereka pilih, itu bukan kuasa saya. Pada saya 50-50,” katanya lagi.

- Advertisement -