Oleh Ku Mohd Lufti
Selepas berjaya meniup semangat susulan kemenangan ke atas New Caledonia, skuad Harimau Malaysia bakal menamatkan jelajah Oceania, menentang Fiji ahad ini.
Namun, ujian berbaza kali ini apabila anak didik Datuk Ong Kim Swee terpaksa beraksi di padang yang kurang baik dan beraksi lebih awal, jam 2 petang waktu tempatan.
“Ini cabaran kepada semua pemain, jadi saya harap mereka mampu membuktikan ia bukan satu masalah untuk kita mendapat keputusan yang baik,”Kata Datuk Ong Kim Swee.
Perlawanan terpaksa diadakan pada Jam 2 petang berikutan negara berkenaan tidak mempunyai kemudahan bola sepak mencukupi terutama ketiadaan lampu limpah di hampir kesemua stadium di negara tersebut.
“Saya juga difahamkan keadaan cuaca dijangka bertambah gelap lebih awal, dalam pukul 5 petang di sini. Jadi mereka terpaksa mengadakan perlawanan lebih awal supaya perlawanan ini tidak terganggu,” katanya.
Tiga pemain yang mengalami kecederaan, Muhd Shahrom Abdul Kalam, Abdul Latiff Suhaimi da Muhd Aidil Zaquan Abdul Razak hampir pasti tidak akan diturunkan.
Kim Swee dijangka menurunkan beberapa pemain yang tidak beraksi pada dua perlawanan terdahulu seperti pemain Pulau Pinang, S Kumaahran dan pemain Kedah, Muhd Amirul Hisyam Awang Kechik.
Malaysia memulakan kempen jelajah Oceania dengan langkah iri apabila tewas 0-2 kepada pasukan ranking ke-193 dunia, Papua New Guinea di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, Jumaat lepas.
Skuad negara, bagaimanapun bangkit mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan ranking ke-183 dunia, New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, New Caledonia pada Rabu.