UniKL Ladies terus cemerlang dalam penampilan sulung mereka apabila mengetepikan pasukan pilihan PDRM Blue Warriors dengan kemenangan selesa 3-0 pada perlawanan kedua Liga Hoki Malaysia (Wanita) di Stadium Hoki Nasional di sini. 

Kemenangan itu meletakkan UniKL Ladies sebagai pendahulu Liga biarpun terikat 6 mata dengan Sabah yang meraih kemenangan besar ke atas Mutiara Juniors  sebelum itu. 

Perlawanan UniKL-PDRM yang sepatutnya berlangsung awal pada jam 6 petang terpaksa di tunda ke sebelah malam dan dipindah ke Padang 2 ekoran masalah padang.  Begitupun, ia tidak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan yang nyata seimbang dan sengit pada dua suku pertama. 

UniKL Ladies mula menggerakkan enjin serangan dengan lebih pantas selepas separuh masa pertama dan berjaya menguasai 60 peratus perlawanan sehingga ke akhir. 

Jaringan padang Nur afiqh Syahzani Azhar pada minit ke-37 membuka laluan buat UniKL Ladies untuk meneruskan tekanan ke atas PDRM Blue Warriors. 

Dua gol dalam tempoh dua minit oleh Norzalin Sumantri pada minit ke-54 dan Tuan Nurhidayah Ismail memberikan kemenangan selesa kepada UniKl Ladies yang dijangka berdepan satu lagi saingan sengit menentang pasukan pilihan PKS Uniten-KPT Sabtu ini. 

Jurulatih UniKL Ladies Roslan Jamaluddin mengakui masa perlawanan yang ditunda ke sebelah malam sedikit sebanyak menjejas konsentrasi pemain beliau.

“Kita akui kelewatan perlawanan sedikit mengganggu fokus kami. Tapi, Alhamdulillah, pemain berjaya bermain tenang selepas mendapat rentak pada suku ketiga yang membolehkan kami menemui sasaran,” kata Roslan, yang mengakui sasaran ketika turun menentang PDRM ialah mengutip tiga mata penuh. 

Young Tigress 0 – 3 PKS Uniten-KPT

PKS Uniten-KPT memastikan tidak lagi tercicir mata penuh selepas mengalahkan Young Tigress 3-0 untuk menduduki tangga ketiga Liga selepas dua perlawanan malam ini.

Skuad bimbingan jurulatih Lailin Abu Hassan nyata sukar disaingi Young Tigress biarpun pada lima minit pertama permainan, tampak seakan skuad pembangunan Malasyia itu mampu menyaingi PKS Uniten.

Namun selepas sembilan minit, PKS Uniten mula mempamerkan kemampuan sebenar dan berjaya membolosi gawang lawan menerusi jaringan padang Nurul Faezah Syafiqah Khalim. 

Begitupun, mereka terpaksa menunggu hingga suku ketiga sebelum menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti Nur Hafizah Maznan pada minit ke-32 sebelum jaringan padang Nur Aisyah Yaacob memastikan tiga mata penuh PKS Uniten. 

Biarpun puas hati dengan kutipan mata penuh, jurulatih PKS Uniten, Lailin Abu Hassan mengakui pemain perlu memperkemaskan ketajaman serangan terutama dalm pukulan sudut penalti.

“Sebagai persiapan menentang UniKL Ladies selepas ini, saya harap pemain dapat memperbaii beberapa kelemahan terutama pukulan sudut penalti.  Menerusi dua perlawanan sebelum ini, saya sudah mengenalpasti barisan terkuat untuk berdepan cabaran sengit menentang UniKL Sabtu ini,” kata beliau. 

Sabah 9-0 Mutiara Juniors PSHA

JARINGAN hatrik Iren Hussin mengemudi Sabah mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas Mutiara Juniors PSHA sekaligus menyuntik semangat apabila berdepan tiga perlawanan sukar selepas ini. 

Kemenangan mengutip tiga mata penuh itu membawa Sabah ke kedudukan kedua dengan jumlah 6 mata yang sama dengan UniKL Ladies yang mendahului Liga dengan kelebihan jaringan gol. 

Pemain kebangsaan Iren Hussin meledak hatrik pada minit ke-5, 10 dan 60 sekaligus meletakkan dirinya dalam kelompok tiga penjaring hatrik kejohanan setakat ini. Pemain UniKL Ladies Hanis Nadia Onn dan Nuraini Abd Rashid merupakan dua pemain yang sebelum ini muncul sebagai penjaring hatrik. 

Dua gol Dayangku Arna Fazirah Awang Latip pada minit ke-13 dan 25 menambah sengsara Mutiara Juniors yang sebelum ini juga mengalamai kekalahan besar 17-0 di tangan UniKL Ladies pada Isnin lepas. 

Satu gol masing-masing dari pukulan sudut penalti dari Inka Shafika Juani (minit ke-42) dan Nor Asfarina Isahyifika Isahhidun (minit 53) selain jaringan padang Sufiamira Basri melengkapkan kemenangan besar Sabah. 

“Kami masih tidak boleh merasa terlalu selesa biarpun berjaya mengutip mata penuh dalam dua misi sebelum ini. Yang penting, sasaran mara ke separuh akir perlu direalisasikan dan tiga cabaran selepas ini menentang PDRM, Uniten dan UniKL Ladies akan menjadi penentu,” kata jurulatih pasukan Yahya Atan. 

Penjaring hatrik Iren Hussin ternyata gembira dapat menjaringkan tiga gold an berterimaksih dengan sokongan rakan sepasukan. “Biarpun kami merupakan pasukan muda yang dipersiapkan untuk Sukma 2022 di Johor, kami gembira dapat menyaingi pasukan yang lebih kuat,” kata beliau. 

KEPUTUSAN PENUH:

UniKL Ladies 3 – 0 PDRM Blue Warriors

Young Tigress 0 – 3 PKS Uniten-KPT

Sabah 9-0 Mutiara Juniors PSHA

JADUAL PERLAWANAN:

Sabtu, 20 Mac 2021

PDRM Blue Warriors mln Sabah

PKS Uniten-KPT mln UniKL Ladies

Young Tigress mln Mutiara Juniors

- Advertisement -