THT bangkit tumpaskan Maybank

TERENGGANU Hockey Team (THT) memanjat tangga Liga apabila mengatasi Maybank 4-2, sekaligus menyingkirkan pendahulu Liga itu ke tangga ke-4 pada Liga Hoki Malaysia (Premier) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini. 

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Maybank yang turun ke gelanggang untuk sebagai pendahulu dengan 9 mata manakala THT, menerusi sumbangan dua gol padang masing-masing menerusi Ismail Abu dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook, kini melonjak ke kedudukan ke-3 Liga, hanya satu mata di belakang pendahulu UniKL dan TNB. 

Biarpun tergelincir dari puncak, Maybank masih dalam kedudukan terbaik ke separuh akhir Piala TNB yang dipertandingkan untuk empat pasukan teratas liga. 

Dua gol padang Mohamad Akhimullah pada minit ke-27 dan 47 dan ditambah dua lagi oleh Ismail Abu pada minit ke-10 dan 52 memberi kemenangan mutlak buat THT biarpun menerima tentangan sengit Maybank pada suku ketiga apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2. 

Maybank pada awalnya tampak seperti mampu memberi saingan menentang gergasi Pantai Timur itu tetapi dua gol jaringan penjaring terbanyak pasukan Muhammad Najmi Farizal pada minit ke-8 dan ke-41 gagal memberi kelebihan. 

THT sebaliknya bangkit menerusi penguasaan gerakan dan permainan pantas yang menekan Maybank pada suku keempat. 

THT berdepan TNB Thunderbolts manakala Maybank berdepan tugas sukar menentang pasukan pilihan TNB pada perlawanan seterusnya Ahad ini. 

Jurulatih THT K. Rajan bangga dengan prestasi pemain yang berjaya menekan Maybank pada suku ketiga dan keempat permainan seterusnya berjay amenghasilkan dua gol.

“Prestasi pada dua suku terakhir memberi kemenangan dan permainan pantas kami berjaya melemahkan Maybank yang sebelum itu menguasai permainan pada dua suku pertama,” kata Rajan.

TNB 5 – 0  SABAH

MUHAMMAD Shahril Saabah menambah jumlah jaringan peribadi apabila sekali lagi menemui sasaran untuk mengemudi TNB mencatat kemenangan selesa 5-0 ke atas Sabah, sekaligus terus mengukuhkan kedudukan terikat di puncak Liga bersama pendahulu UniKL dengan 10 mata yang sama. 

Jumlah jaringan menjadi perbezaan antara UniKL yang mengumpul 19 berbanding TNB 15 gol. 

TNB memulakan rentak kemenangan menerusi jaringan penalti sudut Syed Mohd Syafiq Syed Cholan hanya selapas dua minit perlawanan bermula sebelum ledakan Muhammad Shahril dari penalti sudut membuahkan hasil pada minit ke-16.

Separuh masa kedua menyaksikan Muhammad Aminuddin Mohd Zain membolosi gawang Sabah sekali lagi menerusi pukulan penalti sudut dua gol masinhg-masing menerusi jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke 51 dan Morsyafiq Sumantri pada minit ke-57 memberikan tiga mata mutlak untuk TNB. 

Pertemuan getir menentang Maybank bakal menjadi cabaran terbesar TNB yang pasti mengharapkan trio penjaring mereka Muhammad Shahril, Mohd Aminuddin dan Muhammad Azrai terus cemerlang. 

“Pertemuan menentang Maybank amat penting untuk memastikan kami terus kekal di puncak dan untuk layak ke separuh akhir. Ketika ini, tak banyak perbezaan mata di kalangan empat pasukan teratas dengan hanya jaringan gol menjadi perbezaan. Jadi amat penting untuk kami mendapatkan seberapa banyak gol dalam perlawanan hari ini,’ kata jurulatih TNB Nor Azlan Bakar. 

“Kami akan gunakan tempoh rehat dua hari ini untuk memperbaiki strategi bagi meningkatkan jaringan padang ketika menantang Maybank Sabtu ini,’ tambah beliau. 

UniKL 11 – 0 NURINSAFI HT

MUHAMMAD Razie Rahim dan Faridzul Afiq Muhammad masing-masing cemerlang dengan jaringan hatrik untuk membantu UniKL dengan kemenangan besar 11-0 ke atas Nurinsafi. 

Jaringan hatrik Muhammad Razie seawal minit ke-5 dan diikuti pada minit ke-9 dan ke-57 melonjakkan status beliau sebagai penjaring kedua terbanyak liga di belakang Faizal Saari (THT) dengan mengumpul jumlah 6 gol peribadi setakat ini selepas empat perlawanan. 

Faridzul juga mencatat nama sebagai penjaring hatrik menerusi gol pada minit ke-24, 45 dan 55 yang sekaligus meletakkan beliau sebagai dalam kelompok lima penjaring terbanyak setakat ini. 

Ternyata, UniKL bukan tandingan Nurinsafi HT yang gagal mengekang serangan bertali arus juara bertahan itu yang bukan sahaja mahu memastikan tiga mata penuh, tetapi mencari jaringan besar (19 gol keseluruhan setakat ini) untuk persiapan menghadapi cabaran seterusnya. 

Berbaki tiga perlawanan menentang UiTM pada Ahad (21 Mac), TNB Thunderbolts dan Maybank minggu depan, UniKL tampak berada di landasan tepat dalam usaha mencari piala kedua selepas menjuarai Piala Sumbangsih musim ini. 

Jaringan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (minit ke-24), Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil (min ke-33), Pavandip Singh (minit ke-35), Nur Rahyl Hrsikesa Thaichana Murthi (minit ke-37) dan Muhamad Hafiz Zainol  pada minit ke-39 melengkapkan “kenduri gol” UniKL malam ini. 

Jurulatih UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi memuji prestasi pemain dan puas hati dengan jumlah jaringan padang dan jaringan penalti sudut yang seimbang pada malam ini.

“Jaringan gol yang seimbang ini memberikan pertanda baik untuk mengadapi baki tiga perlawanan selepas ini,” kata beliau. 

Megat Azrafiq berkata tempoh rehat 48 jam sebelum pemain turun menentang UiTM Ahad ini amat penting untuk membolehkan mereka pulih dari keletihan akibat bermain berterusan empat perlawanan dalam tempoh enam hari.

“Esok kita akan adakan latihan singkat sahaja dengan fokus terhadap menajamkan taktik serangan,” kata beliau. 

TNB Thunderbolts 2 – 3 UiTM HA

UiTM HA mencatat kemenangan kedua apabila mengatasi TNB Thunderbolts 3-2 pada perlawanan sengit malam ini. 

Danial Asyraf Abdul Ghani menjadi wira UiTM apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-54 selepas kedua pasukan terikat 2-2 sekaligus mengekalkan kedudukan ke-5 dalam saingan Liga setakat ini. 

Selepas gol awal UiTm oleh Khairul Naim Johari pada minit ke-10, Thunderbolts berada di depan menerusi Muhammad Fahmi dan Mohamad Hazim pada separuh pertama. 

Thunderbolts yang kini ditangga keenam berdepan lawan sukar THT manakala UITM perlu berada di tahap terbaik berdepan UniKL Ahad ini. 

KEPUTUSAN PENUH:

MAYBANK 2 – 4 THT 

TNB 5 – 0 SABAH

UniKL 11- 0 NURINSAFI HT

TNB Thunderbolts 2 – 3 UiTM HA

 

JADUAL PERLAWANAN SETERUSNYA:
Ahad, 21 Mac 2021

Maybank mln TNB (6 ptg) NHS 1

THT mln THN Thunderbolts (6 ptg) NHS 2

Sabah mln Nurinsafi HT (8 mlm) NHS 1

UniKL mln UiTM (8 mlm) NHS 2 

- Advertisement -