Selepas menjadi penaja pada 2016, pengeluar kenderaan luar negara dari Jerman, Volkswagen kembali untuk bersama sama dengan keluarga Le Tour de Langkawi bagi edisi 2018. 

Kenderaan ini akan digunakan oleh pasukan yang bertanding, komisar perlumbaan, promosi (cavalcade), media dan juga pasukan polis. 

Jelas Pengarah Urusan Volkswagen Passanger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter, sebanyak 212 unit kenderaan akan diserahkan untuk kegunaan sepanjang saingan jelajah LTdL edisi ke 23 yang akan bermula dari 18 – 25 Mac 2018. 

“Volkswagen gembira untuk kembali semula untuk bersama Le Tour de langkawi sebagai kenderaan rasmi dan sudah tentu kami berbangga menjadi sebahagian daripada perlumbaan berprestij di rantau Asia sekali lagi. 

“Kami akan menyerahkan pelbagai jenis model Volkswagen kepada penganjur dan delegasi yang terlibat sepanjang LTdL dan yakin pemandu akan berpuas hati dengan ciri ciri pemanduan serta kemampuan kenderaan ini termasuk keselamatan,” kata Winter. 

Berikut adalah model kenderaan dan jumlah unit yang akan diserahkan kepada penganjur LTdL 2018: 

1. Volkswagen Passat 1.8 TSI Trendline    100 unit 

2. Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline       50 unit 

3. Volkswagen Polo 1.6 GL                            32 unit 

4. Volkswagen Tiguan 1.4 TSI Highline    20 unit 

5. Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline     10 unit 

Pada 2016, Volkswagen menjadi penaja bagi kenderaan rasmi LTdL dengan menyediakan sebanyak 190 unit kenderaan pelbagi model kenderaan itu untuk digunakan sepanjang saingan jelajah berstatus Hors 2.0. 

Penglibatan sulung Volkswagen dalam saingan jelajah berbasikal LTdL adalah pada 2009 dimana mereka menjadi penaja rasmi bagi jersi putih atau Pelumba Terbaik Asia.

Penglibatan Volkswagen sebagai penaja LTdL jelas sekali disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan. 

Malah beliau turut mengalu alukan syarikat syarikat lain untuk menjadi sebahagian daripada keluarga LTdL bagi edisi ke 23 tahun ini. 

“Sudah tentu kehadiran Volkswagen  akan memeriahkan lagi saingan jelajah Le Tour de Langkawi tahun ini. Malah perlu saya tekankan penglibatan syarikat swasta selaku penaja penting kerana mereka adalah salah satu nadi utama dalam menjayakan perlumbaan ini,” kata Kumaresan. 

Saingan jelajah Le Tour de Langkawi bakal bermula pada 18 – 25 Mac melibatkan lapan peringkat perlumbaan dengan penyertaan 22 pasukan dari serata dunia. 

- Advertisement -