Welson Sim yang dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki 2017 menyasarkan mencatat masa lebih baik dan memenangi pingat pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan, bagi memastikan penampilan keduanya dalam kedua-dua kejohanan itu meninggalkan memori indah.

Perenang berusia 20 tahun dari Sarawak itu yang akan menyertai beberapa kejohanan menjelang Sukan Komanwel Gold Coast pada April depan, akan berusaha keras bagi memperbaiki catatan peribadi dan mengetahui kedudukannya dalam kalangan pencabar beliau sebelum kejohanan itu.

“Sekarang saya sudah kembali kepada prestasi terbaik selepas Sukan SEA dan berlatih seperti biasa…bakal mulakan musim baharu dengan menyertai kejohanan jemputan di Perth pada Januari, bersaing dengan perenang terbaik Australia. Selepas itu, saya akan menyertai kejohanan di Singapura (Februari) dan Malaysia (Mac) diikuti Sukan Komanwel pada April, jadi saya mempunyai persiapan yang cukup sebelum kejohanan itu.

“Anugerah (Olimpian) ini penghormatan terbesar yang saya capai setakat ini. Ia satu kejutan besar kerana saya tidak pernah fikir saya akan memenanginya. Saya akan beri yang terbaik, bekerja lebih keras dan impian tertinggi saya adalah untuk meraih pingat bagi Malaysia pada Sukan Komanwel dan Asia,” katanya

Pada Sukan SEA KL Ogos lepas, atlet itu merangkul dua pingat emas selepas mempertahankan kejuaraannya dalam acara 400m gaya bebas dan memenangi 200m disiplin sama, selain meraih satu perak dan satu gangsa acara 4x100m dan 4x200m gaya bebas.

Beliau juga merangkul emas acara 400m gaya bebas lelaki di Mare Nostrum Tour di Monaco pada Jun dengan menewaskan juara Olimpik Mack Horton dari Australia dan memperbaharui rekod kebangsaan, untuk menjadi atlet Malaysia kedua memenangi gelaran dalam kejohanan itu, selepas Phee Jinq En, tahun lepas.

Rekod kebangsaan Welson dengan catatan 1:47.36s dan 3:39.48s adalah catatan yang menyaksikan beliau mampu sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa semasa Sukan Asia 2014 dalam acara 200m dan 400m gaya bebas.

“Saya belum memutuskan acara yang akan disertai pada Sukan Komanwel. Saya akan buat keputusan beberapa minggu sebelum kejohanan itu,” katanya.

Welson dijangka menamatkan kemarau pingat pada Sukan Komanwel dan Asia bagi acara renang, yang menyaksikan kali terakhir Malaysia memenangi pingat melalui Alex Lim Keng Liat pada 2002.

Untuk rekod, pada Sukan Komanwel Manchester 2002, Alex merangkul perak acara 50m kuak lentang dan gangsa 100m kuak lentang, manakala pada Sukan Asia Busan 2002, beliau meraih gangsa selepas gagal mengekalkan emas acara 100m kuak lentang.– BERNAMA

- Advertisement -