Ingat lagi mengenai kes perpindahan berprofil tinggi Yusri Che Lah dari Perlis ke MPPJ Selangor dengan bayaran perpindahan hanya RM1 pada hujung 2005?

Perlis ketika itu dilihat sengaja mahu memalukan Yusri selepas tuntutan mereka sebanyak RM100,000 kepada MPPJ dianggap keterlaluan.

Setiap kali timbulnya isu perpindahan pemain, setiap kali ada sahaja cerita mengenai pampasan tidak setimpal, maka cerita perpindahan RM1 itu juga akan kembali diperkatakan.

Dan sejak beberapa minggu ini, kecoh mengenai isu tebus kontrak antara Akhyar Rashid dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) serta jumlah pampasan latihan yang tidak setimpal perlu dibayar kepada KFA jika ada pasukan berminat mendapatkan khidmat pemain muda itu.

Maka kisah Yusri ini sekali lagi mula didendangkan dan rata-rata penyokong mahu Kedah ‘mengajar Akhyar dengan melakukan perkara sama dilakukan Perlis kepada Yusri suatu masa dahulu.

Namun begitu, selepas 13 tahun, Yusri tampil mendedahkan kisah sebenar di sebalik perpindahan kontroversi itu dan menjelaskan jumlah sebenar perpindahannya bukanlah RM1 sepertimana dilaporkan semua media ketika itu.

“Saya tidak pernah buka mulut mengenai perkara ini walaupun cerita RM1 sering dibangkitkan semula setiap kali timbul isu perpindahan pemain. Walaupun ketika itu saya malu dilabelkan sebagai pemain RM1 namun saya tidak membuat sebarang kenyataan bagi mengelak keadaan terus keruh antara saya dengan Perlis.

“Tapi sekarang biarlah saya dedahkan cerita yang betul kerana isu itu pun sudah menjadi sejarah. Sebenarnya, MPPJ membayar RM30,000 kepada Perlis untuk mendapatkan saya. Jadi, nilai sebenar saya bukanlah RM1 sebagaimana dihebohkan PFA melalui media,” dedah Yusri.

Malah, menurut Yusri, kesnya sangat berbeza jika dibandingkan dengan Akhyar kerana ketika itu dia sudah tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak dengan Perlis dan sepatutnya boleh memilih untuk bermain dengan mana-mana pasukan tanpa sekatan.

“Tapi, tidak mengapalah, ketika itu saya redha walaupun kecewa dan yakin Allah sudah membalas rasa redha saya itu dengan apa yang saya nikmati sekarang,” kata Yusri yang kini menjadi jurulatih pasukan Liga Super Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, selepas bermain dengan MPPJ selama semusim pada 2006, Yusri kembali menyarung jersi Perak pada 2007 dan mengakhiri kariernya sebagai pemain dengan kembali ke Perlis.

Dia menceburi bidang kejurulatihan pada 2015 dengan Perlis adalah pasukan pertama dibimbingnya.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -