Penyokong tulang belakang pasukan maka kehadiran mereka penting di setiap perlawanan, kata Zairul (tengah).
Penyokong tulang belakang pasukan maka kehadiran mereka penting di setiap perlawanan, kata Zairul (tengah).

PEMAIN pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak mahu memastikan The Red Warriors (TRW) mendapatkan tiga mata penuh ketika melayan kunjungan T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok bagi mengembalikan kepercayaan penyokong.

Prestasi TRW yang sebelum ini dilihat tidak konsisten apabila sekadar mampu menang tipis, nyata memberi tekanan kepada pemain gergasi pantai timur itu untuk berhadapan dengan penyokong sendiri.

“Kita perlu menang untuk dapatkan tiga mata, sekaligus mendapatkan semula kepercayaan penyokong. Kemenangan malam esok juga penting untuk moral pasukan sebelum berdepan PKNS FC dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA.

“Walaupun TRW kurang menyengat di awal musim, kami masih mampu memberi tentangan dan tidak akan mengalah. Saya percaya TRW masih berpeluang untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas kekuatan pasukan T-Team, Zairul Fitree berkata, sebagai pemain pertahanan beliau bertanggungjawab mengawasi pergerakan pasukan lawan bagi mengelakkan gawang dibolosi.

“Saya dan rakan lain di bahagian pertahanan akan cuba mengekang segala serangan kerana bila lepaskan jaringan, moral seluruh pasukan terjejas,” katanya.

Selepas perlawanan menentang T-Team esok, Kelantan akan ke ibu negara untuk bertemu PKNS pada 18 Feb nanti.

Skuad ‘Pahlawan Merah’ itu menang perlawanan pusingan pertama 3-2 di Kota Baru tiga hari lepas.

Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my

- Advertisement -