Kejohanan jemputan terulung, Piala Sultan Azlan Shah kembali menemui peminat sukan hoki tanah air dengan kejohanan yang menampilkan enam pasukan terbaik dunia itu akan berentap pada 4 hingga 11 Mei 2024 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan merangkap Pengurus Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, secara rasminya menyenaraikan 18 Pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia menentang New Zealand, Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Pakistan.

Menerusi senarai yang dikeluarkan, pemain muda berusia 19 tahun yang pertama kali dipanggil menyertai Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Azimuddin Syakir Kamaruddin serta bekas penjaga gol Pasukan Remaja Kebangsaan, Che Sharul Azmi Che Saupi bakal meraih caps antarabangsa pertama mereka.

Jelas Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, apa yang dituntut daripada 18 pemain yang telah dipilih bagi kejohanan ini adalah agar setiap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik bagi membantu pasukan mencapai keputusan terbaik dalam kejohanan pertama mereka.

“Ini merupakan kejohanan pertama buat pasukan yang baru dibentuk dan kami berharap agar kombinasi 18 pemain baru dan lama dapat membentuk satu keserasian dan persembahan terbaik di kejohanan ini.

“Kami ingin melihat satu kerjasama yang baik antara barisan pemain dan kejurulatihan selain pasukan akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk diberikan perhatian,” jelas Dato’ Najmi.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Pasukan Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan pemilihan 18 pemain yang diumumkan itu telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk prestasi semasa pemain, komitmen semasa sesi latihan serta pemahaman konsep yang diterapkan pasukan.

“Kami barisan kejurulatihan berharap persefahaman antara pemain muda atau pemain baru di dalam pasukan bersama pemain yang lebih senior dapat dibentuk dengan cepat sewaktu dalam perlawanan dan berharap pasukan ini dapat berkembang serta menjadi lebih matang dengan secepat mungkin terutamanya ketika bersaing di peringkat antarabangsa.

“Barisan kejurulatihan juga mengharapkan pemain dapat memberikan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan selain keyakinan yang tinggi serta sikap yang baik dapat ditunjukkan sepanjang kejohanan  berlangsung.

“Kejohanan pertama ini juga seharusnya digunakan oleh pemain-pemain yang lebih muda untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin daripada pemain yang lebih berpengalaman,” ujarnya.

Semalam, The Speedy Tigers telah menjalani aksi persahabatan menentang New Zealand sebagai persediaan terakhir sebelum kejohanan membuka tirai dengan Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas lawannya itu dan petang ini, aksi persahabatan terakhir akan berlangsung di mana Speedy Tigers akan menentang Korea Selatan.

Berikut merupakan senarai 18 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024, Ipoh Perak.

NONAMAPOSISINO JERSI
1MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMANPENJAGA GOL21
2CHE SHARUL AZMI CHE SAUPIPENJAGA GOL32
3MUHAMMAD MARHAN  JALIL (KAPTEN)PERTAHANAN6
4SYED MOHAMAD SYAFIQ  SYED CHOLANPERTAHANAN1
5MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZHARPERTAHANAN29
6MUHAMAD SHAFIQ HASSANPERTAHANAN27
7MUHAMMAD NAJIB ABU HASSANPERTAHANAN2
8SYARMAN MAT TEEPERTAHANAN8
9MOHD FITRI SAARITENGAH7
10NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMITENGAH24
11SHELLO SILVERIUSTENGAH15
12NORSYAFIQ SUMANTRITENGAH22
13ALFARICO LANCE LIAU JRTENGAH13
14FAIZAL SAARIPENYERANG10
15MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMALPENYERANG23
16MUHAJIR ABDU RAUFPENYERANG26
17MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOKPENYERANG11
18AZIMUDDIN SYAKIR KAMARUDDINPENYERANG31

Berikut merupakan jadual perlawanan The Speedy Tigers bagi aksi Liga Satu Kumpulan :

NOHARITARIKHPERLAWANANMASA
1.SABTU4 MEI 2024MALAYSIA LWN PAKISTAN8:30 MALAM
2.AHAD5 MEI 2024KANADA LWN MALAYSIA8:30 MALAM
3.SELASA7 MEI 2024MALAYSIA LWN NEW ZEALAND8:30 MALAM
4.RABU8 MEI 2024JEPUN LWN MALAYSIA8:30 MALAM
5.JUMAAT10 MEI 2024MALAYSIA LWN KOREA8:30 MALAM
  
- Advertisement -