Kejohanan Piala Asia 2022 Jakarta Indonesia, akan membuka tirai secara rasmi pada 23 Mei hingga 1 Jun 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, dengan perlawanan ini juga menawarkan tiket secara automatik untuk ke Hoki Piala Dunia 2023 yang dijadualkan berlangsung di India pada Januari 2023.

Empat slot automatik ke Piala Dunia 2023 bagi benua Asia telah diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan satu slot telah diisi oleh India selaku tuan rumah Piala Dunia 2023. Ini sekaligus menyaksikan tiga slot akan menjadi taruhan buat pasukan yang bersaing di Kejohanan Piala Asia 2022 Jakarta Indonesia.

Lapan pasukan akan bersaing dengan tujuh daripadanya mempunyai misi yang sama iaitu merebut tiga slot automatik yang tinggal dan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea dan Oman sementara Kumpulan A diisi oleh India, Indonesia, Jepun dan Pakistan.

Dalam satu sidang media yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan turut dihadiri oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, senarai 20 pemain telah diumumkan oleh Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Mirnawan Nawawi dengan dua penjaga gol, enam pemain pertahanan, lapan pemain tengah dan empat penyerang bakal ke Jakarta.

Menurut Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj, layak ke Piala Dunia 2023 adalah sasaran utama pasukan dan pemain-pemainnya telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik serta memastikan sasaran tersebut dicapai.

“Kami telah mengumpul maklumat mengenai pasukan-pasukan yang akan kami temui di kejohanan tersebut dan untuk aksi peringkat kumpulan, kami juga mempunyai peluang untuk melihat perlawanan yang melibatkan pasukan Korean dan Bangladesh terlebih dahulu sebelum turun bertemu mereka.

“Matlamat utama kami adalah untuk layak ke Piala Dunia dan kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Kejohanan ini menggunakan sistem “super 4” di mana dua pasukan teratas kumpulan A dan B akan bertemu secara liga satu pusingan.

“Jika India berada di dalam kelompok “super 4” ini bermakna keempat-empat pasukan layak ke Piala Dunia 2023 namun jika India tiada di dalam kelompok tersebut ini bermakna hanya tiga pasukan akan mendapat slot automatik tersebut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pasukan Malaysian Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil menjelaskan beliau dan barisan pemain yang lain berpegang kepada prinsip untuk bermain sebagai satu pasukan dan mereka turut menerapkan pelbagai perkara di dalam latihan untuk memastikan prinsip tersebut sentiasa ada.

“Sasaran yang diletakkan kepada kami adalah untuk layak ke Piala Dunia, namun untuk sasaran persendirian pasukan adalah kami ingin muncul selaku juara Piala Asia 2022.

“Saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan untuk mengambil setiap tekanan yang ada sebagai sesuatu yang positif dan menjadikan tekanan tersebut sebagai kekuatan juga keyakinan untuk bermain.

“Setiap pemain telah mengetahui kelebihan dan kekuatan yang dimiliki dan kini apa yang perlu mereka lakukan adalah menterjemahkannya di dalam perlawanan,” kata Marhan yang telah mengumpul 271 caps antarabangsa.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan berlepas ke Jakarta, Indonesia esok (Rabu – 18 Mei 2022) pada jam 1.45 petang dan akan memulakan aksi pertama mereka pada 23 Mei 2022.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan membawa misi penting Malaysia di Piala Asia 2022, Jakarta, Indonesia.

1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL
2 ADRIAN ANDY ALBERT PENJAGA GOL
3 MUHAMMAD RAZIE ABD RAHIM PERTAHANAN
4 MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL PERTAHANAN
5 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN
6 SYED MOHAMAD SYAFIQ SYED CHOLAN PERTAHANAN
7 MUHAMMAD SYAFIQ HASSAN PERTAHANAN
8 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR PERTAHANAN
9 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN TENGAH
10 FAIZ HELMI JALI TENGAH
11 ZULPIDAUS MIZUN TENGAH
12 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI TENGAH
13 NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI TENGAH
14 FAIZAL SAARI TENGAH
15 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI TENGAH
16 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN TENGAH
17 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL PENYERANG
18 SHELLO SILVERIUS PENYERANG
19 NORSYAFIQ SUMANTRI PENYERANG
20 MUHAMMAD SHAHRIL SAABAH PENYERANG

Berikut merupakan jadual perlawanan Malaysian Tigers bagi aksi peringkat Kumpulan B:

NO HARI TARIKH PERLAWANAN MASA
1. ISNIN 23 MEI 2022 MALAYSIA LWN OMAN 12:45 TENGAH HARI
2. SELASA 24 MEI 2022 KOREA LWN MALAYSIA 3:00 PETANG
3. KHAMIS 26 MEI 2022 MALAYSIA LWN BANGLADESH 3:00 PETANG
** Masa perlawanan adalah Waktu Malaysia

- Advertisement -