rio.macot

Oleh Muhammad Aiman

Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli tekad tidak mahu sekadar menjadi penumpang di Sukan Olimpik Rio De Janeiro tatkala dia meletakkan sasaran untuk setidak-tidaknya memperbaiki catatan masa peribadi terbaiknya 11.62s.

Namun, untuk melakukannya Zaidatul sedar dia perlu berada pada prestasi terbaik kariernya memandangkan dia belum dapat menghampiri catatan itu yang dilakar ketika di Sukan Universiti Asean Palembang 2014, manakala catatan terbaiknya untuk tahun ini hanyalah 11.67s.

Ketiadaan jurulatih, M.Balamurugan yang tidak dibawa ke Rio pastinya turut menyukarkan atlet kelahiran Pulau Pinang itu namun Zaidatul yang layak atas tiket wildcard bersedia menyahut cabaran dan membuktikan pemilihannya adalah satu keputusan tepat.

“Untuk letakkan sasaran tinggi memang susah, sebab bertanding pun dengan barisan atlet terbaik dunia, jadi ini satu pengalaman baru bagi saya. Apa yang boleh saya janji, saya akan buat sehabis baik untuk pecahkan rekod peribadi, dan lebih penting meraih sebanyak mungkin pengalaman.

“Sama ada boleh melepasi peringkat saringan atau tidak, saya mahu uji potensi serta sejauh mana tahap saya. Ianya sudah tentu lebih manis jika saya boleh pecahkan rekod kebangsaan G. Shanti (11.50s) di pentas olimpik dan saya perlu gandakan usaha, bekerja keras untuk mencapainya,” ujar atlet berusia 23 tahun itu.

Dalam kejohanan terakhir disertainya sebelum ke Rio iaitu Sukan Universiti Asean di Singapura kira-kira dua minggu lalu, Zaidatul memenangi pingat emas bagi acara 100m, perak (200m) dan gangsa 4x100m yang mungkin boleh menyuntik sedikit inspirasi buatnya namun dia tidak begitu teruja dengan pencapaian itu.

“Saya kurang berpuas hati dengan catatan masa di sana, tidak berapa bagus. Untuk 100m saya sekadar melakukan 11.94s, mungkin kerana saingan tidak begitu sengit. Saya harap dapat perbaiki apa yang kurang untuk pastikan sekurang-kurangnya membawa pulang sesuatu dari Rio.”

Untuk rekod, Zaidatul menjadi pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia untuk disenaraikan menerusi tiket wildcard, mengetepikan pelari 400m, Shereen Samson Vallaboy setelah menunjukkan prestasi konsisten dan meningkat naik sepanjang tahun ini.

Selain Zaidatul, turut membawa cabaran negara dari sukan olahraga adalah atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa yang layak secara merit.  

- Advertisement -